
DI saat ramai artis mencipta karya agung dengan cat dan berus, Khalidah Asri muncul dengan hasil seni yang menakjubkan dengan hanya menggunakan benang dan tekstur sisa kain daripada pakaian terpakai.
"Saya sentiasa suka seni, tetapi tidak begitu mahir dalam melukis,.
"Dengan kraf tangan ini, saya boleh menjadi seorang artis tanpa perlu membuat lakaran," kata ibu kepada empat anak itu.
Seni selimut dihasilkan wanita berusia 66 tahun itu mewakili tafsiran asal konsep atau idea dan bukan sekadar mengikut corak sedia ada.
BACA LAGI: Kurangkan subsidi telur mungkin strategi 'soft landing', mekanisme pasaran sihat
Sebuah karya seni geometri moden dengan pengaruh daripada gaya abstrak. — Khalidah
Mula menceburkan diri dalam menghasilkan seni kain sejak 2015, karya Khalidah dipamerkan di pelbagai pameran seni termasuk Pameran Malaysiana Big Heart anjuran Yayasan Arshad Ayub di Segaris Art Centre, Kuala Lumpur.
Malah, sehingga 5 Mei nanti, beliau akan mempamerkan seninya di Pameran Seni ESG di Kuala Lumpur Sentral.
Seni yang memerlukan kreativiti menjahit itu juga bukanlah perkara baharu buat nenek kepada 15 cucu dari Nilai, Negeri Sembilan itu.
Kesabaran dan semangat
Permulaan Khalidah dalam seni fabrik ternyata bermula daripada menjadi tukang jahit pada 1986 dengan hanya satu tujuan iaitu untuk menambah pendapatan keluarga.
Namun, komitmen itu bagaikan sudah sebati dan menjadi minatnya.
Daripada menjahit di rumah, Khalidah yang berkelulusan Diploma Reka Bentuk Fesyen dan Pakaian di Institusi Rekaan Fesyen Kuala Lumpur itu mula berkerja di sebuah butik.
Minatnya yang mendalam dalam bidang jahitan akhirnya mendorongnya untuk menubuhkan akademi sendiri di Labuan, di mana tempatnya mengajar menghasilkan pakaian selama enam tahun sehingga 1992.
Sekembalinya ke Kuala Lumpur, Khalidah terus bekerja dalam bidang itu selama beberapa tahun dengan memenuhi tempahan bagi jenama fesyen tempatan.
Potret hasil ciptaan Khalidah dengan menggunakan benang dan fabrik. — Khalidah
Malah, untuk melepaskan minatnya terhadap benang dan jarum tidak dapat meneruskan niatnya untuk bersara.
"Menjahit masih menjadi minat saya, walaupun bukan lagi sebagai tukang jahit," katanya.
Waktu itulah beliau menemui minat baharu dan meneroka aspek jahitan yang lebih artistik.
Pengalaman lebih 10 tahun itu tanpa disangka banyak mengajarnya agar menjadi lebih teliti dan terperinci terutama dalam memastikan kualiti fabrik yang digunakan.
"Saya bermula dengan seni menggabungkan kain beraneka warna dan corak atau quilting patchwork dan secara beransur-ansur jatuh cinta dengan dunia yang rumit serta ekspresif ini.
"Ia membolehkan saya menonjolkan bakat seni dalam diri dan buka peluang teroka perkara baharu," jelasnya.
Dengan memilih fabrik, melapiskannya dan menggunakan teknik menyusun dan menggabung dengan bebas, Khalidah dapat menterjemahkan imej yang difikirkannya menjadi satu seni kraf tangan berjahit.
"Lama kelamaan, semangat saya untuk mencipta potret menggunakan fabrik semakin meningkat walaupun memang menghadapi cabaran pada mulanya.
"Banyak percubaan, kesilapan dan amalan berterusan," akuinya.
Untuk memperhalusi kemahiran dengan teknik yang berbeza, Khalidah beralih pula kepada sumber dalam talian termasuk membuat tutorial di platform media sosial seperti YouTube dan blog oleh artis tekstil.
Lukisan pemandangan dihasilkan dengan fabrik adalah sesuatu yang harus dibanggakan. — Khalidah
Beliau juga menyertai kumpulan quilting antarabangsa.
Dengan dedikasi dan amalan yang konsisten, Khalidah berjaya membawa gaya tersendiri yang menjadikan ciptaannya unik ekspresif dan kaya dengan terperinci.
Lapisan demi lapisan
Khalidah memang pakar dalam potret fabrik, mahir melapis kepingan tekstil untuk menterjemahkan emosi, perincian dengan ketepatan yang luar biasa.
Prosesnya adalah rumit kerana setiap karya dihasilkan memerlukan perancangan teliti bermula dengan memilih fabrik yang betul.
"Cabarannya sentiasa mencari fabrik yang betul kerana tidak semua fabrik sesuai untuk quilting.
"Saya perlu dapatkan bahan daripada kedai kraf, mewarnakan fabrik saya sendiri dan mencari tekstur unik di kedai bajet," katanya lagi.
Baginya, sisa kain mempunyai nilai yang besar, tanpa mengira saiznya.
Malah, kepingan fabrik paling kecil disusun mengikut warna dengan teliti dan disimpan untuk kegunaan di waktu lain.
Proses itu juga diteruskan dengan menggubahnya mengikut foto ditentukan sedikit-demi sedikit sehingga imej hidup terhasil.
Katanya, keseluruhan proses boleh mengambil masa berbulan-bulan bergantung pada keadaan semasa.
"Kesabaran adalah kunci kepada seni quilting, ia bukan sesuatu yang anda boleh buat dalam keadaan tergesa-gesa.
Menjahit juga boleh menjadi aktiviti santai untuk mengisi masa lapang. — Khalidah
Menjahit adalah rawatan
Semakin meningkat usia, Khalidah mendapati bahawa quilting membuatkan fikirannya aktif dan tangannya sibuk.
"Menjahit juga membantu mengurangkan kebosanan dan kesunyian yang kadang-kadang saya rasai walaupun ketika anak dan cucu saya ada.
"Rutin harian saya mencerminkan pendekatan seimbang terhadap kerajinan saya.
"Saya biasanya bekerja selepas cucu pergi ke sekolah dan kerja rumah selesai.
"Saya berehat pada tengah hari dan jika saya ada masa dan tenaga lebih, saya akan meneruskannya pada waktu petang," kongsinya.
Walaupun seni itu sering dilihat sebagai aktiviti secara individu, Khalidah dapat menyertai komuniti melalui media sosial dengan menjadi ahli aktif pelbagai kumpulan quilting di Facebook, tempatan dan antarabangsa.
"Kumpulan ini bagus untuk berkongsi idea, teknik dan sumber.
"Anda tidak selalu perlu menggunakan cat fabrik komersial. Pewarna semula jadi daripada bahan dapur seperti kulit bawang dan daun teh boleh menghasilkan warna organik yang cantik," ujarnya.
Melihat ke hadapan, Khalidah berharap untuk melihat seni itu mendapat lebih pengiktirafan di Malaysia.
"Ia lebih dihargai di peringkat antarabangsa, tetapi saya percaya ia mempunyai potensi yang besar di sini juga.
"Carilah sesuatu yang membawa anda kegembiraan. Seni quilting atau sebarang bentuk ekspresi kreatif boleh menjadi sangat memuaskan," simpulnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram