
WALAUPUN sudah mengamalkan gaya hidup sihat seperti makan makanan seimbang, minum air secukupnya dan bersenam secara berkala, namun masih ramai wanita yang mengalami masalah sakit sendi, tulang rapuh dan osteoporosis.
Menurut Dr. Malar Santhi Santherasegapan, keadaan itu berlaku disebabkan kurangnya kesedaran terhadap pengambilan nutrien yang betul dan penting untuk kesihatan tulang serta sendi.
Beliau turut berkongsi situasi mengenai seorang bekas guru yang kini suri rumah berusia 41 tahun, mengalami masalah sakit sendi dan tulang rapuh osteoporosis.
BACA LAGI: Sistem pertahanan usus lemah undang penyakit, pakar tegaskan pentingnya nutrien tertentu
BACA LAGI: Pemakanan sihat, persekitaran positif penting untuk perkembangan awal kanak-kanak
"Apabila ditanya, beliau cakap memang makan makanan seimbang, minum air yang cukup, bersenam jugalah kadang-kadang katanya jika ada masa.
"Beliau banyak buat kerja-kerja di rumah, jadi beliau rasa macam memang bersenamlah.
"Selepas bersembang lama, baru saya faham bahawa sebenarnya wanita tidak cakna tentang nutrien penting dan perlu untuk tulang kuat dan sendi yang sihat,” jelasnya menerusi satu hantaran video yang dikongsikan di Instagram miliknya.
Justeru Dr. Malar menjelaskan, terdapat empat nutrien asas yang wajib diberi perhatian untuk memastikan tulang kekal padat dan sendi kekal fleksibel.
1. Kalsium
Nutrien paling dikenali, kalsium adalah 'batu asas' dalam pembinaan tulang.
Namun, kalsium memerlukan bantuan magnesium dan vitamin D untuk diserap dengan efektif.
Sumber terbaik adalah makanan semula jadi seperti produk tenusu, kekacang dan sayur hijau.
2. Vitamin D
Tanpa vitamin D, kalsium tidak boleh diserap secara optimum.
Cahaya matahari adalah sumber utama vitamin D dan pendedahan kepada sinaran matahari sama ada pagi, tengah hari atau petang sudah mencukupi untuk keperluan harian.
Namun, jika kurang terdedah dengan sumber matahari, pengambilan suplemen boleh dipertimbangkan.
3. Magnesium
Digelar sebagai ‘pengimbang mineral’, magnesium memainkan peranan penting dalam mengaktifkan vitamin D dan memastikan keseimbangan mineral dalam tulang.
Ia juga membantu mengelakkan kekejangan otot yang sering dialami oleh golongan wanita.
4. Silika
Silika merupakan mineral yang jarang disebut tetapi sangat penting.
Ia membantu penyerapan kalsium dan penghasilan kolagen dan juga komponen utama dalam pembentukan tulang serta tisu sendi.
Tanpa silika yang mencukupi, kolagen tidak dapat dihasilkan secara efektif.
Silika membantu pertumbuhan semula tisu sendi dan meningkatkan kekuatan tulang.
Antara sumber semula jadi silika adalah nasi perang, oat dan sayuran hijau.
Namun, cara paling mudah dan berkesan untuk mendapatkannya adalah melalui air mineral berkualiti tinggi.
Dr. Malar turut mengingatkan bahawa empat nutrien tersebut bukan sahaja penting untuk tulang dan sendi, malah memberi manfaat kepada kesihatan kulit, rambut dan kuku.
“Mula jaga daripada sekarang, bukan tunggu usia emas,” ujarnya.
Perkongsian itu menjadi peringatan kepada masyarakat, terutamanya wanita agar lebih peka terhadap nutrien penting yang sering diabaikan dalam rutin harian, demi kesihatan jangka panjang lebih baik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram