Model 'reject' bersolek, dijeling MUA lain tak patahkan semangat wanita Lumut derita tulang rapuh


  • Bizz
  • Isnin, 12 Ogos 2024

Norhanisah sentiasa mencari peluang baharu dan kaedah inovatif untuk menambah pendapatannya dan mengembangkan kemahirannya. — Instagram/Makeupbynysaabdullah

DILAHIRKAN dengan penyakit genetik jarang berlaku dipanggil osteogenesis imperfecta, Norhanisah Abdullah, 40, menerima takdir dirinya yang menderita penyakit tulang rapuh.

Kondisi itu menyebabkan wanita berusia 40 tahun tersebut terpaksa berhadapan cabaran untuk melakukan sebarang aktiviti yang berisiko mengakibatkan tulang patah.

Pun begitu, Norhanisah tidak sesekali membiarkan ketidakupayaannya itu menjadi penghalang untuk dirinya menggapai impian.

Selain kerjaya sebagai jurusolek di Kuala Lumpur, dia juga menjalankan perniagaan menjual biskut, karipap dan barang kemas buatan tangan, yang diusahakan di rumah.

BACA LAGI: [VIDEO] Rama-rama jadi identiti, anak seni kelahiran Perak realisasi impian masa kecil buka bisnes di Bukit Bintang

BACA LAGI: Sanggup lupakan hobi kumpul setem, simpan emas jauh lebih lumayan

Lead imageHaving a disabled person on the runway highlights the importance of diversity and inclusivity. — Theanyssa_mua/Instagram

Norhanisah pernah menjadi model di pertunjukan fesyen amal 2023.

"Saya dilahirkan dengan kecacatan, tetapi saya tidak melihatnya sebagai beban. Walaupun mengalami sakit kronik pada masa-masa tertentu dan bergantung pada kerusi roda, saya berusaha untuk hidup seperti biasa.

"Saya melakukan apa yang saya boleh, walaupun terpaksa bekerja dengan agak perlahan berbanding orang lain,” katanya.

Wanita kelahiran Lumut, Perak itu menjadi contoh yang baik untuk membuktikan bahawa dengan kesungguhan, sokongan dan kebolehsuaian, orang kurang upaya (OKU) juga boleh mengatasi cabaran.

Norhanisah mahu menyebarkan mesej bahawa kecacatan tidak akan membatasi impian, malah dia akan mencuba pelbagai cara untuk menjana sumber pendapatan.

"Saya mungkin tidak boleh melakukan perkara seperti orang yang berkemampuan tetapi perlahan-lahan, saya boleh melakukan banyak perkara.

“Pendapatan saya tidak terlalu banyak, hanya sekitar RM1,000 sebulan, hasil daripada menjalankan pelbagai perniagaan.

"Selagi saya mempunyai wang yang cukup untuk membeli suplemen kalsium dan multivitamin, saya gembira,” kata Norhanisah, yang berharap untuk mencapai kebebasan kewangan suatu hari nanti.

WhatsApp Image 2024-08-09 at 18.23.12

Norhanisah pernah melabur RM500 untuk menghadiri kursus solek bagi mempelajari kemahiran baharu.

Malang tidak berbau buat Norhanisah apabila suami tercinta pula diuji terlibat dengan kemalangan hingga menyebabkan dirinya lumpuh dari pinggang ke bawah, pada tahun 2009.

"Dia kini terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda dan menjual burger di Cheras. Buat masa ini, pendapatan kami boleh dikatakan hanya cukup-cukup untuk menampung keperluan hidup," ungkapnya yang menawarkan perkhidmatan solek untuk acara pengantin, pertunjukan fesyen dan majlis lain.

Dugaan demi dugaan menimpa Norhanisah menjadikan dirinya lebih kuat.

Norhanisah sentiasa mencari peluang baharu dan kaedah inovatif untuk menambah pendapatannya dan mengembangkan kemahirannya.

Kongsi Norhanisah lagi, sebelum penularan Covid-19, dia pernah melabur RM500 untuk menghadiri kursus solek bagi mempelajari kemahiran baharu.

“Menjadi jurusolek agak menguntungkan selepas pandemik kerana orang ramai mula menghadiri lebih banyak acara dan perkahwinan dan mencari perkhidmatan jurusolek profesional.

"Kini, lebih ramai individu menggunakan perkhidmatan jurusolek kerana mereka menghargai kepakaran dan kesenian," jelasnya sambil menambah bahawa solekan berkonsepkan semula jadi menjadi trend pilihan masa kini.

Music for Musicians' Univeilling Uniqueness event for people with disabilities. —YAP CHEE HONG

Selain kerjaya sebagai jurusolek, dia juga menjalankan perniagaan menjual barang kemas buatan tangan, yang diusahakan di rumah.

Dijeling

Berkongsi antara momen pahit yang pernah dialaminya sepanjang bergelar jurusolek, cerita Norhanisah, dia tidak menafikan ada antara pihak di luar sana yang tidak boleh menerima keadaan fizikalnya.

Kepada Majoriti, Norhanisah meluah rasa, dia pernah menyertai satu pertandingan Makeup Artist (MUA) yang dianjurkan di Melaka pada Ogos tahun lalu.

Dalam pertandingan tersebut, setiap MUA diberikan seorang model untuk disolek, namun agak memilukan apabila model yang ditetapkan untuk Norhanisah menolak untuk bekerjasama dengannya.

Model berkenaan bahkan meminta agar penganjur menggantikan jurusolek lain.

"Lebih menyedihkan, segelintir jurusolek yang turut menyertai pertandingan tersebut juga memberikan pandangan yang sinis, selain ada juga yang menjeling saya," luah wanita tersebut.

Menceritakan situasi lain, Norhanisah berkata, terdapat juga pelanggan yang menghubunginya secara dalam talian, bertindak membatalkan perkhidmatan selepas mengetahui keadaan fizikalnya.

"Tidak dinafikan ada yang tidak boleh menerima saya begini, tetappi saya anggap ini hanyalah ujian, dalam dunia ini tidak semua orang akan suka kita," katanya yang sering berkongsikan hasil kerjanya menerusi laman Instragram.

Pic 4: Nurqaseh (top) is the apple of Norhanisah's eye. — NORHANISAH ABDULLAH

Nurqaseh Adrianna (berdiri) banyak membantu ibunya menjalankan tugasan harian.

Tulang belakang

Anak kelima daripada lapan beradik itu mengakui dirinya amat bertuah kerana mempunyai ibu bapa dan ahli keluarga yang sangat menyokong.

“Arwah abang saya juga mengalami masalah tulang rapuh, jadi ibu bapa sentiasa bersabar dengan kami berdua.

"Mereka memastikan kami tidak pernah berasa terasing atau berbeza, memberi kasih sayang dan perhatian sepenuhnya sama seperti adik-beradik yang lain," kata Norhanisah, yang pernah menjadi model di pertunjukan fesyen amal 2023.

Selain ibu bapa dan suami, wanita tersebut menganggap anak tunggalnya, Nurqaseh Adrianna Mohd Sani, 16, sebagai tulang belakang dalam kehidupannya.

Sejak kecil, Nurqaseh Adrianna dilatih untuk menjadi kuat dan berdikari, sehingga kini dia banyak membantu ibunya menjalankan tugasan harian.

“Dengan keadaan sekarang, saya mudah letih dan sakit belakang. Syukurlah, Nurqaseh Adrianna sentiasa sudi bantu buat kerja.

"Dia membantu memudahkan urusan ketika saya bertugas sebagai jurusolek juga. Saya amat bangga melihat dia membesar menjadi seorang gadis yang baik,” jelas Norhanisah, yang menghadiri sesi fisioterapi mingguan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia di Cheras. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram