MASALAH kesihatan gigi sering kali dianggap remeh, namun ia memainkan peranan besar dalam memastikan kesejahteraan seisi keluarga.
Gigi yang sihat bukan sahaja membolehkan kita makan dan bercakap dengan selesa, tetapi juga memberikan kesan positif dari segi keyakinan diri berbicara bersama orang sekeliling.
Namun, bagi ibu hamil, masalah gigi rapuh atau gigi sensitif antara cabaran besar buat ibu dan perkembangan bayi dalam kandungan.
BACA LAGI: [VIDEO] Ajal di tiang telekomunikasi, juruteknik maut tersentuh kabel berkuasa tinggi di Jawa Timur
Penjagaan gigi yang betul penting bagi mengelakkan kerosakan khususnya sepanjang hamil.
Oleh itu, penjagaan kesihatan gigi semasa hamil adalah sangat penting dan memerlukan perhatian yang khusus.
Kehamilan lazimnya membawa perubahan hormon yang besar sehingga memberi kesan kepada kesihatan gusi dan gigi.
Antaranya, gusi menjadi lebih sensitif dan mudah berdarah, sementara kekurangan kalsium boleh menyebabkan gigi wanita menjadi rapuh.
Ini kerana bayi dalam kandungan memerlukan kalsium untuk pembentukan tulang dan gigi dan jika tidak mendapat cukup kalsium, tubuh ibu akan mengambilnya daripada simpanan kalsium dalam tulang dan gigi ibu. Akibatnya, gigi ibu menjadi lemah dan lebih mudah rosak.
Ketua Pusat Pengajian Diagnostik dan Perubatan Mulut dan Maksilofasial di Fakulti Pergigian Universiti Teknologi Mara, Dr. Nurharnani Harun berkata, gigi rapuh berlaku apabila struktur gigi lemah, mudah rosak atau retak walaupun hanya pada gigitan ringan.
"Keadaan ini boleh terjadi seawal usia satu tahun yang merujuk kepada gigi mengalami kerosakan akibat karies atau gigi berlubang dan berisiko patah," katanya kepada Majoriti.
Perubahan hormon semasa mengandung menyebabkan gusi lebih sensitif dan mudah berdarah, manakala kekurangan kalsium berisiko gigi menjadi rapuh. — Gambar hiasan
Ini menunjukkan bahawa masalah gigi rapuh bukan hanya berlaku pada orang dewasa, tetapi kanak-kanak juga berisiko tinggi mengalami gigi berlubang.
Selain faktor kekurangan kalsium, satu lagi faktor yang sering mengganggu kesihatan gigi ibu hamil ialah hakisan gigi.
Hakisan gigi berlaku apabila asid dalam tubuh merosakkan enamel gigi dan keadaan itu boleh terjadi akibat pengambilan makanan berasid atau masalah refluks gastrik (GERD).
Menurut Institut Kesihatan Negara, asid endogen dan eksogen bertanggungjawab terhadap peningkatan kejadian hakisan gigi yang boleh memberi kesan buruk pada gigi.
GERD, yang menyebabkan asid perut naik ke kerongkong boleh merosakkan permukaan enamel gigi dan menyebabkan gigi rapuh.
Selain itu, masalah seperti gigi berlubang akibat pengambilan gula berlebihan dan tidak mengamalkan penjagaan gigi yang betul juga menyumbang kepada gigi rapuh.
Minuman berkarbonat berisiko menyebabkan hakisan gigi yang lebih teruk.
Penggunaan bulu berus gigi yang keras, pengambilan makanan berasid dan minuman berkarbonat juga boleh menyebabkan hakisan gigi yang lebih teruk.
Dalam kes yang lebih teruk, ibu hamil yang menghadapi penyakit seperti bulimia nervosa, yang menyebabkan muntah berulang boleh berisiko mengalami kerosakan gigi akibat kandungan asid dalam muntah yang menghakis enamel gigi.
Selain itu, kekurangan vitamin D juga boleh mengganggu pertumbuhan gigi memandangkan vitamin tersebut memainkan peranan penting dalam penyerapan kalsium ke dalam tubuh.
Oleh itu, ibu hamil perlu memastikan pengambilan kalsium dan vitamin D yang mencukupi untuk menyokong kesihatan gigi mereka, selain untuk kesejahteraan bayi dalam kandungan.
Bagi mencegah masalah gigi rapuh, ibu hamil perlu memberi perhatian kepada kebersihan mulut dengan memberus gigi dua kali sehari menggunakan ubat gigi yang mengandungi fluoride.
Tidak hanya itu, kerap membersihkan celah-celah gigi dengan menggunakan benang gigi juga antara perkara yang perlu dibiasakan.
Selain itu, ibu hamil juga disaran mengamalkan pemakanan kaya kalsium seperti susu, keju, ikan dan sayuran hijau.
Vitamin D yang mencukupi juga penting untuk membantu penyerapan kalsium.
Sekiranya ibu hamil mengalami gigi mudah patah atau gigi sensitif terhadap suhu atau makanan manis, segera berjumpa doktor gigi.
Pemeriksaan awal sangat penting untuk mengenal pasti masalah lebih awal dan mengelakkan kesakitan atau kerosakan gigi yang lebih serius. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram