BERPENGALAMAN selama enam tahun dalam bidang fisioterapi, Nurul Hidayu sentiasa menanamkan sikap terbuka dan teruja dalam membantu pesakit menjalani proses pemulihan.
Hidayu yang merupakan pakar fisioterapi khusus untuk warga emas di IMM Carehub itu juga berpeluang berkongsi perjalanannya sepanjang berada di dalam bidang tersebut.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi di Universiti Malaysian Allied Helath Sciences Academy (MAHSA) itu berkata, peranannya dilihat amat penting buat individu yang berdepan masalah berkaitan keupayaan tulang dan otot.
BACA LAGI: Sanggup berhenti kerja, jodoh ubah impian pengembara berbasikal dari Eropah ke Tanah Suci Makkah
Nur Hidayu (kiri) ketika sesi fisioterapi dengan warga emas. — Facebook/IMM Carehub
Sepanjang kerjayanya, Hidayu juga pernah berdepan dengan pelbagai kes termasuk pesakit yang mengalami masalah sakit belakang teruk atau dipanggil sebagai skoliosis.
Katanya, kanak-kanak dan warga emas antara golongan yang kerap menghidap penyakit skoliosis kerana mereka mempunyai postur badan sedikit lemah.
"Ada satu kes pernah saya uruskan melibatkan seorang pesakit dewasa yang tak boleh bangun langsung dan tak rasa kaki dia.
"Sebab tulang belakang dia dah himpit pada saraf dan menyebabkan kaki dia selalu rasa kebas.
"Jadi, kami guna rawatan fisioterapi melalui bantuan alat-alat profesional yang kami ada sampai dia boleh berjalan dan pandu kereta," katanya kepada Majoriti.
Baginya, dapat melihat reaksi balas positif daripada pesakit cukup membuatkannya lebih menghargai kerjayanya sebagai pakar perubatan itu.
Nur Hidayu turut mengakui bahawa perubahan ketara pada wajah pesakitnya selepas rawatan adalah satu pencapaian yang amat menggembirakan.
Kanak-kanak juga antara golongan yang sering mendapatkan rawatan fisioterapi. — Gambar hiasan/Agensi
Bukan itu sahaja, ucapan terima kasih daripada pesakit menjadi bukti keberkesanan teknik fisioterapi yang digunakan dalam proses pemulihan.
Pakar muda berusia 20-an itu juga tidak menafikan bahawa setiap rawatan itu diberikan kepada pelbagai jenis pesakit termasuk golongan kanak-kanak autistik.
"Bila berdepan dengan pesakit autisme kebiasaannya mereka akan terima rawatan fisioterapi untuk lancarkan keupuyaan bercakap.
"Yang menjadi cabaran adalah bagaimana kita nak berinteraksi dengan mereka. Kita sendiri perlu tahu cara sesuai untuk dekati mereka.
"Jadi, kami akan cuba duduk sekali dan perhatikan cara mereka bermain dan berkomunikasi dengan ibu bapa dahulu," jelasnya.
Katanya, ibu bapa sentiasa disarankan untuk berada bersama anak ketika sesi fisioterapi bagi mengelakkan pesakit berasa takut atau tantrum.
Nur Hidayu bagaimanapun bersyukur kerana tidak pernah berdepan masalah atau kesukaran semasa menguruskan kanak-kanak autisme.
Dengan perkembangan dan kemajuan dalam dunia perubatan kini, dia tidak menafikan pelbagai jenis rawatan diperkenalkan termasuk cracking bone atau kiropraktik.
Rawatan yang pernah tular di media sosial sebelum ini banyak digunakan bagi individu-individu mengalami sakit pada anggota badan, tulang belakang atau postur tidak betul.
Tabib tulang termasuk dalam rawatan cracking bone adalah antara kaedah perubatan tradisional Cina yang membetulkan postur tulang agar darah boleh mengalir serta otot lebih seimbang dan tendon menjadi lebih licin.
Fisioterapi adalah rawatan yang memberi kesan jangka panjang. — Gambar hiasan/Agensi
Namun, bagi Nur Hidayu, rawatan itu perlu dilakukan sesuai dengan umur atau tahap kesihatan pesakit.
"Kalau pesakit terutamanya warga emas atau kanak-kanak tidak digalakkan sangat sebab tulang mereka berkemungkinan rapuh dan mudah patah jika buat terlalu kuat atau kerap.
"Lebih-lebih lagi pesakit yang alami slip disc sebab ia sangat bahaya dan tak boleh tekan sesuka hati," katanya.
Slip disc merujuk pada penyakit yang berlaku apabila disc dalam tulang belakang berganjak keluar dari tempat asal.
Justeru, Nur Hidayu lebih menyarankan agar pesakit mendapatkan rujukan pakar seperti fisioterapi meskipun ia mungkin mengambil tempoh masa panjang untuk mendapatkan kesembuhan.
Dia juga menekankan bahawa fisioterapi adalah lebih berkesan untuk tujuan pemulihan dan pencegahan jangka panjang, berbanding dengan rawatan yang lebih bersifat sementara seperti urut.
Sebagai seorang fisioterapis, Hidayuh bukan sahaja mengamalkan kemahiran teknikal tetapi juga berperanan sebagai pendidik bagi pesakit dan keluarga mereka.
"Sokongan secara holistik memang sangat penting untuk beri para pesakit semangat untuk pulih dan meneruskan hidup mereka," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram