Zon permainan dalam dewan perkahwinan mampu elak insiden atau kekecohan akibat kanak-kanak berlari-lari sewaktu majlis


  • Maya
  • Rabu, 14 Mei 2025

Zon permainan mampu mengelakkan insiden atau kekecohan akibat kanak-kanak berlari-lari di sekitar dewan perkahwinan. — Gambar hiasan

MAJLIS perkahwinan yang sepatutnya berlangsung dalam suasana penuh gembira dan tertib boleh bertukar kelam-kabut dek kelakuan kanak-kanak yang mengganggu kelancaran acara.

Isu itu bukanlah perkara baharu, malah sering kali tular di media sosial keluhan pengantin dan tetamu terganggu dengan gelagat anak-anak kecil yang berlari-lari dan menjerit ketika bermain.

Lebih parah, terdapat juga kes pelamin roboh gara-gara ‘eksplorasi’ luar jangkaan si cilik.

BACA LAGI: Usahawan wanita muda tinggalkan Eropah demi sambung legasi perniagaan keluarga

BACA LAGI: [VIDEO] Anyaman janur jadi pilihan, dekorasi tradisional manifestasi seni cinta Luna Maya dan Maxime Bouttier

Situasi tersebut bukan sahaja mengundang rasa kurang senang daripada pihak pengantin, malah turut menjejaskan pengalaman tetamu yang hadir untuk meraikan hari istimewa pasangan mempelai.

Meskipun peringatan telah diberikan kepada ibu bapa agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak, hakikatnya bukan mudah untuk mengawal mereka, lebih-lebih lagi bagi keluarga dengan anak kecil yang ramai. 

Dalam suasana meriah dan sibuk, kawalan terhadap kanak-kanak menjadi semakin sukar.

Justeru, beberapa cadangan cuba disuarakan segelintir pihak bagi menangani isu itu, antaranya termasuk menyediakan zon mini permainan yang mesra kanak-kanak di dalam dewan perkahwinan.

Zon tersebut bukan sahaja memberi ruang selamat dan menyeronokkan untuk anak-anak bermain, malah membolehkan ibu bapa menikmati majlis dengan lebih tenang. 

Malah, ia juga dapat mengelakkan insiden tidak diingini seperti kerosakan pada pelamin atau gangguan semasa upacara penting berlangsung.

Berdasarkan perkongsian di aplikasi Thread, seorang indvidu yang menyediakan servis permainan tersebut, muyaaa menyarankan agar bakal pengantin melabur sedikit bajet tambahan bagi menyediakan kawasan khas untuk anak-anak kecil bermain semasa majlis berlangsung.

Rata-rata warga maya turut bersetuju dengan alternatif tersebut, dengan beranggapan ia mampu mengelakkan insiden tidak diingini seperti pelamin runtuh atau kekecohan akibat kanak-kanak berlari-lari di sekitar dewan.

"Pernah datang perkahwinan sepupu yang ada buat zon permainan untuk kanak-kanak, ada bouncy castle. 

"Memang kanak-kanak duduk dalam itu sahaja untuk bermain. Tiada adegan berlari-lari di karpet merah atau pelamin," tulis afiahkamel. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram