Perkenal produk tuala wanita lestari, Nadya Okamoto pejuang isu haid dan pemerkasaan kaum Hawa sejak usia 16 tahun


Okamoto menegaskan, sudah tiba masanya majikana mengiktiraf haid sebagai isu kesihatan yang serius dan bukannya sekadar hal peribadi. — Agensi

WALAUPUN dunia semakin moden, stigma terhadap haid masih menghantui kehidupan seharian, termasuk di tempat kerja.

Masih ramai wanita berasa perlu menyembunyikan produk haid mereka, sama ada dengan menyelit tampon dalam bra atau menyorokkan tuala wanita di dalam dompet ketika ke tandas awam.

Fenomena itu bukan sahaja menggambarkan tekanan sosial, malah menunjukkan kurangnya kesedaran di peringkat organisasi.

Banyak syarikat masih gagal menyediakan produk haid asas di pejabat, dipercayai berpunca daripada kekangan budaya dan ketiadaan polisi mesra haid.

BACA LAGI: 13 peratus gadis, wanita B40 tidak mampu beli tuala wanita

BACA LAGI: Pelajar mudah beli tuala wanita guna mesin layan diri

 

 

Justeru aktivis sosial dan pengasas jenama produk haid August, Nadya Okamoto menegaskan, sudah tiba masanya untuk majikan mengiktiraf haid sebagai isu kesihatan yang serius dan bukannya sekadar hal peribadi.

“Haid boleh melemahkan ramai orang, lebih-lebih lagi bagi mereka yang menghidap endometriosis.

"Statistik menunjukkan lima hingga 10 peratus wanita di Amerika Syarikat (AS) mengalami keadaan tersebut, yang boleh menjejaskan fungsi harian dan prestasi kerja,” katanya yang mengasaskan August pada 2021.

Pada usia 26 tahun, Okamoto menggunakan pendekatan keusahawanan untuk memperjuangkan akses lebih adil terhadap produk penjagaan haid selain menghapuskan stigma yang sudah lama membelenggu wanita di seluruh dunia.

August bukan hanya untuk menjual tampon dan tuala wanita, tetapi mewujudkan satu komuniti inklusif yang meraikan pengalaman haid, tanpa mengira jantina atau latar belakang.

Melalui August, Okamoto berazam menjadikan produk haid lebih mesra alam, selesa digunakan dan mudah didapati oleh semua golongan.

Antara perjuangan terbesarnya kini adalah menghapuskan 'cukai tampon', cukai jualan yang dikenakan ke atas produk seperti tampon dan tuala wanita, apabila ia dianggap sebagai barangan mewah atau tidak penting.

Bagi menangani isu tersebut, Okamoto dan pasukannya melancarkan kempen #AugustTaxBack pada tahun lalu, satu inisiatif membolehkan pelanggan menuntut semula jumlah cukai dikenakan ke atas produk August di 22 negeri Amerika Syarikat (AS).

“Kami mahu menggunakan perniagaan untuk bawa perubahan sosial,” katanya.

Sehingga kini, August bekerjasama dengan lebih 100 sekolah dan universiti, menyumbang lebih 120,000 produk haid selain membantu membuang lebih 26,000 paun plastik dari laut.

Beliau menghasilkan buku berjudul Period Power yang mengupas secara mendalam tentang realiti haid. — Agensi

Kemiskinan haid

Beliau mula terlibat dalam isu kemiskinan haid ketika remaja, selepas menyedari wujudnya golongan wanita yang tidak mampu mendapatkan keperluan asas seperti tuala wanita atau tampon.

“Saya mula mengetahui tentang isu ini melalui rakan-rakan dan carian di internet. Sejak itu, saya tidak boleh berhenti memikirkannya,” ujarnya.

Ketika berumur 16 tahun, beliau menubuhkan pertubuhan bukan keuntungan, Period, yang memberi fokus terhadap pendidikan, penyediaan produk haid percuma dan advokasi dasar berkaitan haid.

Usahanya diteruskan dengan penerbitan buku berjudul Period Power, mengupas secara mendalam tentang realiti haid, stigma yang menyelubunginya dan cara untuk memperkasa wanita agar lebih yakin serta dihormati ketika melalui proses semula jadi itu.

Okamoto menerajui organisasi tersebut sehingga 2020 sebelum memulakan perjalanan baharu bersama August.

Menurut beliau, August bukanlah sekadar jenama. Ia lahir daripada hasrat untuk menawarkan alternatif lebih baik, produk mesra alam, selesa digunakan dan didukung oleh komuniti yang aktif di media sosial serta platform pesanan seperti Geneva.

Bagaimanapun, cabaran muncul apabila produk August mula dipasarkan di rangkaian pasar raya utama AS seperti Target.

Disebabkan transaksi tidak lagi dikendalikan secara terus, syarikat kehilangan keupayaan untuk menyerap 'cukai tampon' seperti sebelumnya.

“Kami bertungkus-lumus mencari jalan untuk ambil pendirian yang jelas terhadap isu ini.

"Akhirnya, kami lancarkan kempen #AugustTaxBack, jadi pelanggan hanya perlu hantar gambar resit dan kami akan bayar semula cukai yang dikenakan,” jelasnya.

Sebagai wakil generasi Z, Okamoto (tengah) percaya anak muda hari ini memikul tanggungjawab lebih besar dalam menangani isu sosial. — Agensi

Perubahan sosial

Berbeza dengan perniagaan biasa, Okamoto melihat syarikat berasaskan keuntungan seperti August sebagai platform lebih berkesan untuk mencipta perubahan besar.

Beliau menambah, ketika mengendalikan Period, dirinya menghabiskan 90 peratus masa untuk mengutip dana.

"Berbeza dengan August, kami mendapat sokongan pelaburan modal teroka,” ujarnya.

Dana yang diperoleh bukan sahaja membolehkan mereka menghasilkan stok dan membayar gaji pasukan, malah memberi ruang untuk fokus pada inovasi produk serta gerakan advokasi.

Sebagai wakil generasi Z, beliau percaya anak muda hari ini memikul tanggungjawab lebih besar dalam menangani isu sosial.

“Kami membesar dengan kepercayaan bahawa Mahkamah Agung akan melindungi hak kami, tapi kini hak reproduktif makin terhakis berbanding 50 tahun lalu,” katanya.

Walaupun misi beliau kekal sama iaitu memperjuangkan keadilan haid, pendekatannya telah berubah.

“Saya tidak pernah terfikir mahu jadi ahli perniagaan. Sebaliknya saya memiliki matlamat besar.

"Saya sudah cuba salurkan melalui pertubuhan bukan keuntungan, malah menulis buku mengenainya. Namun kenyataannya, orang hanya ambil serius apabila ia datang daripada syarikat yang buat duit,” tuturnya.

Okamoto menggunakan platform media sosialnya untuk membuka perbincangan tentang haid dan isu kesihatan yang sering dianggap tabu.

“Bercakap tentang haid itu penting kerana diam hanya menyemarakkan salah faham dan stigma berbahaya. Ia boleh membawa kepada masalah kesihatan, ketidaksamaan gender dan peminggiran mereka yang mengalami haid," jelasnya yang memiliki lebih empat juta pengikut di aplikasi TikTok, nadyaokamoto. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram