[VIDEO] Anyaman janur jadi pilihan, dekorasi tradisional manifestasi seni cinta Luna Maya dan Maxime Bouttier


  • Relaks
  • Jumaat, 09 Mei 2025

Majlis perkahwinan Luna dan Maxime menjadi simbol keindahan seni warisan yang digarap dalam suasana penuh kasih sayang. — Instagram Luna Maya

PELAKON terkenal Indonesia, Luna Maya, 42, baru-baru ini melangsungkan pernikahan dengan pilihan hatinya, Maxime Bouttier, 32, di sebuah pusat peranginan mewah di Bali, Indonesia.

Walaupun jarak usia 10 tahun membezakan mereka, ia bukan penghalang untuk pasangan itu membina mahligai cinta yang sekian lama diimpikan.

Perkahwinan mereka bukan sahaja menjadi bualan kerana status selebriti masing-masing, tetapi juga kerana dekorasi perkahwinan luar biasa dengan berpandukan tradisi dan alam dalam gaya moden yang penuh seni.

BACA LAGI: Usahawan wanita muda tinggalkan Eropah demi sambung legasi perniagaan keluarga

BACA LAGI: Kediaman minimalis pintar kaya fungsi, adunan harmoni Jepun dan Scandinavia menerusi konsep Japandi

Sentuhan Tradisi dan Alam dalam Dekorasi Pelamin

Apa yang benar-benar memukau perhatian ramai adalah dekorasi pelamin digunakan kedua pasangan itu.

Ia bukan sekadar hiasan biasa, tetapi hasil seni anyaman janur yang sangat eksklusif.

Untuk info, anyaman janur merupakan salah satu seni tradisional yang jarang dilihat dalam majlis perkahwinan moden ia menjadikan pilihan Luna itu sesuatu luar biasa dan penuh makna.

 

Janur, merujuk kepada daun kelapa muda diolah dengan begitu teliti untuk mencipta tekstur yang unik dan penuh seni.

Setiap helaian daun dianyam dengan tangan bagi mencipta corak rumit namun harmoni sekali gus memperlihatkan kehalusan dan kesenian warisan Nusantara.

Gabungan elemen semula jadi itu bukan sahaja menyuntik sentuhan klasik, tetapi juga memberikan suasana yang tenang serta mendamaikan untuk menyatu dengan alam sekitar.

Kombinasi warna hijau, putih dan krim memberikan suasan berada di taman tropika yang penuh mistik. Instagram Luna Maya

Elemen dekorasi yang mencuri tumpuan

1. Pelamin bernuansa alam

Pelamin kedua pasangan sejoli itu dibina dengan konsep 'back to nature', menggunakan anyaman janur yang menghiasi seluruh struktur pelamin.

Reka bentuknya menggabungkan tekstur semula jadi daun kelapa dan buluh bagi mencipta suasana yang tenang dan sejuk.

Kombinasi warna hijau, putih dan krim bukan sahaja menyegarkan mata, tetapi juga memberikan suasan elegan mewah seolah-olah berada di taman tropika yang penuh mistik.

Meja akad Luna dan Maxime simbolik kepada kesucian serta ketulusan cinta yang disatukan. Instagram Luna Maya

2. Meja akad nikah yang eksklusif

Meja akad nikah dihiasi dengan anyaman janur yang sedikit kekuningan menyerlahkan lagi keindahan warna semula jadi daun kelapa matang.

Bahagian atas meja pula dilapisi kain alas daripada kuntuman bunga melur yang wangi, menambahkan suasana romantis dan menenangkan.

Ini bukan sekadar hiasan tetapi simbolik kepada kesucian dan ketulusan cinta yang disatukan dalam ikatan perkahwinan.

 

 

3. Kerusi dengan perincian tradisional

Setiap kerusi dalam majlis itu dihiasi dengan anyaman janur yang dihasilkan dengan sangat teliti.

Daun kelapa muda digabungkan dengan daun yang mula menguning, menghasilkan tekstur harmoni dan penuh seni.

Ia membawa sentuhan tradisional yang jarang kita lihat, namun tetap kelihatan mewah dan sofistikated.

Aroma semula jadi bunga melur menambahkan nilai sentimental kepada majlis tersebut. Instagram Luna Maya

4. Permaidani bunga melur yang unik

Salah satu elemen paling menarik adalah permaidani diperbuat daripada anyaman bunga melur ia bagai memberikan rasa seperti raja sehari.

Aroma semula jadi bunga melur bukan sahaja menyegarkan, tetapi juga menambahkan nilai sentimental kepada majlis tersebut.

Sentuhan itu memang terasa seperti berada dalam dunia khayalan yang penuh cinta.

 

 

5. Perincian klasik eropah dan nusantara

Untuk menyuntik elemen moden, kerusi bergaya French Louis yang klasik dipadukan dengan kerusi telus pandang Louis Ghost, mencipta kontras antara tradisi dan kontemporari.

Kerusi itu diletakkan di atas lantai bermotif batik penuh seni, menambahkan lagi unsur budaya dalam suasana yang penuh keindahan.

Tema atau dekorasi dipilih dua pasangan itu sesuatu yang jarang dilihat dalam dunia selebriti.Instagram Luna Maya

Simbol warisan dan cinta yang abadi

Majlis perkahwinan Luna dan Maxime itu bukan sahaja meriah tetapi juga menjadi simbol keindahan seni warisan yang digarap dalam suasana penuh kasih sayang.

Dekorasi unik itu membuktikan bahawa elemen tradisi boleh digabungkan dengan moden untuk menghasilkan suasana yang luar biasa.

Tema atau dekorasi dipilih dua pasangan itu sesuatu yang jarang dilihat dalam dunia selebriti.

Dengan pilihan dekorasi yang penuh makna itu, majlis perkahwinan mereka bukan sahaja sekadar sebuah perayaan cinta, tetapi juga satu penghormatan kepada warisan budaya Nusantara.

Ia bukan sekadar perkahwinan, tetapi satu manifestasi seni, tradisi dan cinta yang kekal abadi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram