Usahawan wanita muda tinggalkan Eropah demi sambung legasi perniagaan keluarga


  • Relaks
  • Jumaat, 09 Mei 2025

Intan Zulaika (kanan) rasa bertuah kerana mempunyai ibunya di sisi, membimbing dan menyokongnya dalam menguruskan perniagaan bersama.

SELEPAS menamatkan Ijazah Sarjana dalam Hubungan Antarabangsa dari University of Oslo, Norway, Intan Zulaika Nor Arfudi menyasarkan kerjaya dalam dunia akademik lebih-lebih lagi di ibu kota Norway.

Bidang penyelidikan, penulisan dan dasar merupakan impian yang membentuk pandangannya terhadap dunia.

Namun, anak kelahiran Shah Alam itu sama sekali tidak menyangka akan membuat pusingan 180 darjah, meninggalkan nota penyelidikan untuk bersama ibunya, Rosmah Yaakub, 61, bagi menguruskan perniagaan kraf seramik keluarga, KE Ceramics yang berpusat di Bukit Jelutong, Shah Alam.

BACA LAGI: Kediaman minimalis pintar kaya fungsi, adunan harmoni Jepun dan Scandinavia menerusi konsep Japandi

BACA LAGI: 'Kemiskinan meragut cinta', wanita luah beban hidup walau suami gaji RM7,000 sebulan

Dari Akademia ke Kraf Tangan

"Saya memang bercita-cita bekerja dalam bidang penyelidikan dasar di Eropah. Selepas tamat pengajian pada 2019, saya pulang ke Malaysia sebentar untuk meluangkan masa bersama keluarga," kongsi Intan Zulaika.

"Saya mula membantu Mama dengan kerja pemasaran, penjenamaan, pembangunan produk dan logistik kerana rasa geram melihat potensi jenama yang belum dimanfaatkan sepenuhnya."

Namun pada 2020, pandemik Covid-19 melanda, dan rancangan Intan Zulaika untuk kembali ke Eropah tergendala.

"Saya hanya ingin membantu Mama buat sementara waktu, tapi disebabkan pandemik, kerja jangka pendek itu terus kekal sehingga sekarang," katanya sambil ketawa.

Rosmah turut berseloroh, "Daripada tiga anak saya, Intan Zulaika yang paling tak mungkin menyertai perniagaan ini. Kami selalu bertengkar macam anjing dengan kucing! Siapa sangka akhirnya dia yang ambil alih?”

Tiada masa yang membosankan, hanya penuh gelak tawa dan usikan mesra antara Intan Zulaika (kiri) dan ibunya, Rosmah.

Perniagaan berasaskan cinta

Rosmah, yang berasal dari Ipoh, memulakan KE Ceramics pada 1993 ketika berusia 29 tahun.

Berkelulusan sebagai perancang bandar dari University of New South Wales, Sydney, beliau pernah bekerja selama empat tahun dalam sektor korporat sebelum beralih ke dunia seramik.

"Saya tak gembira kerja dalam sektor korporat. Jadi, semasa masih bekerja, saya ambil kursus membuat seramik selama 12 minggu dengan yuran RM300. Dari situ, terus jatuh cinta dengan tanah liat,” kata Rosmah.

Nama KE Ceramics pula diinspirasikan daripada Circular Quay di Sydney.

Namun begitu, Rosmah memilih nama “KE” kerana lebih mudah disebut berbanding "quay" yang mungkin disalah anggap sebagai “kuih”.

Pada mulanya, Rosmah memulakan studio kecil di rumahnya di Subang Jaya dengan bantuan kewangan suami, Nor Arfudi Abdul Razak, 61.

KE Ceramics meraikan hasil kraf Malaysia dengan menawarkan jubin seramik buatan tempatan yang menyokong penggiat seni bebas.

Dari seramik ke jubin

Selepas berpindah ke Ipoh untuk lebih banyak ruang, Rosmah mula menghasilkan pasu dan tembikar sebelum beralih ke pembuatan jubin seramik.

“Jubin lebih mudah disimpan, dibawa dan dihantar. Bila produk lebih rata, semuanya lebih efisien,” jelas Rosmah.

Bagi Intan Zulaika, kenangan zaman kanak-kanaknya penuh dengan aktiviti berkaitan seramik, dari ikut ibu menghantar pesanan sehinggalah membantu memilih warna glaze.

Intan Zulaika (kanan) bersyukur kerana mendapat sokongan daripada ibu bapanya, Rosmah dan Nor Arfudi, dalam menguruskan perniagaan.

Mengembangkan KE Ceramics

Kini, KE Ceramics beroperasi dari studio luas yang penuh dengan produk seramik buatan tangan, termasuk jubin dinding, pemegang lilin, mangkuk dan seni hiasan Islamik.

Semua dibuat secara eksklusif dalam jumlah kecil dengan tujuan untuk mengekalkan sentuhan seni yang unik.

"Kami tidak menghasilkan produk secara besar-besaran. Setiap produk dibentuk, dicat dan disiapkan dengan tangan. Tiada yang sama,” kata Rosmah.

Antara pencapaian membanggakan ialah penyertaan dalam pemulihan masjid bersejarah seperti Masjid Kampung Kling dan Masjid Kampung Hulu di Melaka.

Intan Zulaika telah terlibat dalam perniagaan dunia seramik sejak bertahun-tahun selepas belajar selok-beloknya daripada ibunya.

Cabaran sebagai usahawan wanita

Sebagai pengurus penuh masa, Intan Zulaika mengawasi pemasaran, perakaunan dan operasi.

Namun sebagai wanita dalam industri yang didominasi lelaki, dia sering berdepan persepsi kurang cekap.

"Bila berurusan dengan kontraktor, ada yang pandang rendah seolah-olah saya tak faham proses tender. Kadang-kadang, saya terpaksa hantar ayah untuk uruskan," katanya.

Walaupun berdepan cabaran, Intan Zulaika semakin menghargai usaha keras ibu bapanya dalam perniagaan.

"Saya belajar bahawa jika kita cintakan apa yang kita buat, semua halangan akan terasa lebih ringan."

Intan Zulaika (kanan), bergambar bersama ibunya, Rosmah semasa kecil.

Tradisi Hari Ibu

Menyambut Hari Ibu, Intan Zulaika dan Rosmah memilih untuk meraikannya dengan cara yang sederhana seperti masakan, gelak ketawa serta masa berkualiti bersama keluarga.

"Dalam keluarga kami, Hari Ibu hanya tentang masak, makan dan bersama-sama. Saya? Jadi tukang cuci!" gurau Intan Zulaika.

Rosmah pula hanya inginkan satu perkara: "Bagi saya, baucar urut pun dah cukup!"

Walaupun perjalanan Intan Zulaika berbeza dari apa yang dirancang, ia penuh dengan makna sambil berpaksikan kasih sayang keluarga dan semangat untuk meneruskan legasi perniagaan. — The Star/SHEELA CHANDRAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram