
PADA usia empat tahun, Mikaila Ulmer bukan sahaja membina gerai minuman pertamanya, malah melakar laluan sebagai usahawan sosial cilik yang kini berjaya menjual hampir 10 juta botol air lemoned di seluruh Amerika Syarikat (AS).
Hari ini, wanita berumur 20 tahun yang sedang melanjutkan pengajian di Atlanta itu terus memberi inspirasi sebagai penulis, penceramah dan aktivis dalam memperjuangkan nasib usahawan muda, perniagaan kecil serta kelangsungan hidup lebah madu.
Akui beliau, ibu bapanya sudah menanamkan semangat keusahawanan dalam dirinya sedari kecil.
BACA LAGI: Rai ibu tersayang dengan hadiah haruman bersama jambangan bunga
BACA LAGI: Rai ibu tersayang dengan hadiah haruman bersama jambangan bunga
“Jika mahukan mainan baharu, mereka akan minta saya buat lebih banyak kerja rumah untuk kumpul mata atau cari jalan jana pendapatan sendiri.
"Kami kerap ke perpustakaan awam, saya belajar bahasa Sepanyol, membantu di taman rama-rama dan kebun sayur serta menjaga ayam.
"Mereka mahu saya belajar tanggungjawab kewangan dan hidup secara menyeluruh,” katanya.
Sengat lebah
Berhubung perniagaan yang diusahakan, segalanya bermula apabila Mikaila disengat lebah sebanyak dua kali dalam tempoh seminggu.
Ketakutan yang timbul mencetuskan rasa ingin tahu sebelum ibu bapanya mencadangkan agar beliau membuat kajian tentang lebah.
Penyelidikan itu membuka mata kepada masalah lebih serius, iaitu fenomena colony collapse disorder yang menyebabkan populasi lebah merosot secara mendadak.
Mikaila menjual minuman tersebut di gerai kecil di hadapan rumahnya. — Agensi
“Saya sedar lebah sangat penting kepada bekalan makanan kita. Seminggu selepas itu, saya dapat buku resipi 1940-an daripada moyang, Granny Helen.
"Saya gabungkan resipi lemoned biji rami (flaxseed) dengan madu lalu terciptalah lemoned manis berasaskan madu yang pertama di bawah jenama Me & the Bees,” ujarnya.
Dengan menjual minuman itu di gerai kecil di hadapan rumahnya, Mikaila mula menarik perhatian bukan sahaja pelanggan, malah penyokong yang sudi menderma kepada misi menyelamatkan lebah.
Detik Perubahan
Peluang mula terbuka luas apabila sebuah restoran piza tempatan menawarkan untuk menjual produknya dengan syarat ia dibotolkan.
Ia menjadi pemangkin kepada usaha Mikaila membina syarikat yang lebih profesional.
Dewan Perniagaan Kulit Hitam Austin kemudian mencadangkannya menyertai rancangan realiti perniagaan terkenal Shark Tank.
Di sana, beliau berjaya meyakinkan pelabur dan meraih perjanjian pelaburan yang melonjakkan syarikatnya ke peringkat nasional.
“Masih ingat semasa rakaman, saya lepaskan tangan ayah dan jawab semua soalan pelabur dengan sendiri. Saya tahu ini titik perubahan,” kongsinya lagi.
Mikaila berjaya meyakinkan pelabur dan meraih perjanjian pelaburan yang melonjakkan syarikatnya ke peringkat nasional. — Agensi
Alam Sekitar
Me & the Bees kini hadir dalam lima perisa, iaitu Black Cherry, Very Berry, Passionfruit, Classic dan Prickly Pear, dengan kesemuanya dihasilkan menggunakan buah-buahan serta tanpa pengawet berbahaya.
“Kami tolak banyak tawaran untuk tambah bahan kimia kerana ia tidak selari dengan matlamat asal, untuk memberi pilihan sihat kepada kanak-kanak di samping membantu lebah,” ujar Mikaila.
Kajian di pasaran juga menunjukkan perisa beri dan tropika semakin popular dalam komuniti berbilang kaum iaitu sesuatu yang sangat diraikannya.
Pelajar biasa
Walaupun telah berucap di hadapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), bertemu keluarga bekas Presiden AS, Barack Obama dan syarikat Fortune 500, Mikaila masih menjalani kehidupan seperti remaja lain.
“Orang terkejut apabila saya kata saya CEO (Ketua Pegawai Eksekutif). Mereka fikir ia hanyalah gerai lemoned yang kecil.
"Namun apabila saya sebut produk ini dijual di 50 negeri, reaksi mereka berubah,” kongsinya tertawa.
Baginya, minat dan keuntungan bukanlah dua perkara yang perlu dipisahkan, malah boleh berjalan seiring.
Mikaila gemar mengembara ke kawasan luar bandar apabila tidak sibuk mengurus perniagaan. — Agensi
Falsafah kehidupan
Apabila tidak sibuk mengurus perniagaan atau tugasan kuliah, Mikaila gemar mengembara ke kawasan luar bandar, dari Texas Barat hingga ke Alabama.
“Anda takkan jumpa saya di bandar ketika waktu cuti! Saya lebih suka masuk gua, mendaki dan panjat tebing, saya sangat cintakan alam,” ceritanya.
Pengalaman Mikaila di Universiti Emory turut membentuk falsafah hidupnya.
Daripada sesi meditasi bersama sami Tibet sehinggalah kepada pengamatan tentang lebah, beliau belajar tentang ketabahan, peranan bersama dan keindahan kerjasama.
“Satu cerita yang saya suka, kalau penari balet solo tersilap langkah, tiada siapa tahu kecuali dirinya berhenti menari. Jadi teruskan saja, itulah ketabahan,” ungkap wanita itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram