Pemilik restoran jadi 'robot' ketika ambil pesanan masih jadi tumpuan, rupanya dah menari sejak usia 12 tahun


  • Relaks
  • Ahad, 11 Mei 2025

Gaya gerakannya yang sangat realistik seolah-olah robot mengelirukan ramai pengguna dalam talian. — Agensi

DI saat perdebatan global mengenai kemampuan kecerdasan buatan (AI) menggantikan pekerjaan manusia masih hangat diperkatakan, seorang usahawan wanita dari China menarik perhatian ramai dengan pendekatan kreatif bagi mempromosikan restorannya.

Tampil dengan idea luar biasa, wanita dikenali dengan nama keluarga Qin, 25, itu mendapat perhatian apabila berlakon seolah-olah dirinya robot ketika mengambil pesanan pelanggan.

Persembahan luar biasa menunjukkan dia menyambut tetamu, menyajikan makanan, menuang air termasuk melambai-lambai, semuanya dilakukan dalam gerakan mekanikal dan ekspresi semula jadi, seolah-olah dirinya robot.

BACA LAGI: Buntu cari hadiah Hari Ibu, 5 resipi 'kids-friendly' ayah dan anak-anak wajib cuba raikan wanita istimewa

BACA LAGI: Buntu cari hadiah Hari Ibu, 5 resipi 'kids-friendly' ayah dan anak-anak wajib cuba raikan wanita istimewa

Menerusi salah satu video tersebut, Qin dilihat membawa hidangan ke meja yang tersedia dengan sup pedas hotpot, usus itik, daging dan sayur-sayuran. 

Gaya gerakannya yang sangat realistik mengelirukan ramai pengguna dalam talian, malah ada yang bertanya, sama ada ia benar-benar robot.

Tidak sedikit juga yang kagum dengan keupayaannya untuk tidak berkelip mata sepanjang persembahan.

Meski video berkenaan sudah tular sejak tahun lalu, restoran hotpot di Chongqing, barat daya China milik Qin itu masih menjadi tumpuan pengunjung sehingga kini.

Malah rakaman tersebut turut ditularkan kembali di media sosial baru-baru ini.

Menurut laporan Jiupai News, Qin merupakan penari profesional yang telah menjalani latihan sejak berusia 12 tahun. 

Jelas Qin, gaya pergerakan robotik itu sebenarnya tidak jauh berbeza dengan gerakan tarian jalanan yang sering dipraktikkan dalam latihannya.

“Ekspresi mata memang saya lakonkan, tetapi semua pergerakan lain bergantung pada kawalan otot,” katanya.

Kebanyakan pelanggan terhibur dan teruja menyaksikan persembahan unik tersebut secara langsung. — Agensi  

Qin turut berkongsi, idea asal untuk berkelakuan seperti robot timbul daripada gurauan bersama rakan-rakannya yang datang berkunjung ke restorannya. 

“Kami sering menari bersama dan secara kebetulan mereka rakam video saya ketika melakonkan watak pelayan robot. 

"Mereka muat naik ke media sosial dan tidak sangka ia jadi tular,” katanya.

Qin menegaskan, persembahannya adalah sekadar satu cara menyerlahkan bakat dan menambah keunikan kepada restoran miliknya.

Reaksi para pelanggan di restoran amat positif, dengan ramai yang terhibur dan teruja menyaksikan persembahan unik tersebut secara langsung. 

Di media sosial pula, semakin ramai warga mata dari tanah besar China menyuarakan hasrat untuk mengunjungi restoran itu sendiri.

“Saya tertipu, benar-benar sangka itu robot. Memang ketawa tak berhenti menonton video ini. Saya mesti ke restoran tersebut hanya untuk melihat sendiri pemiliknya,” tulis salah seorang warga maya.

Sejak dimuat naik ke Facebook, video tersebut telah meraih lebih 50,000 tanda suka dan mencuri perhatian pengguna antarabangsa.

“Saya suka kreativiti begini! Tak masuk akal, dia langsung tak berkelip. Itu memang hampir mustahil dilakukan,” katanya.

Dengan bakat unik dan persembahan luar biasa, Qin membuktikan bahawa manusia sebenar masih mampu menyaingi, malah menewaskan robot dengan gaya dan seni. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram