Bermula secara tidak sengaja, Boss Mama kini tembusi pasaran antarabangsa, solusi buat ibu moden


  • Bizz
  • Isnin, 12 Mei 2025

Berbekalkan pengalaman keibuan dan semangat yang tinggi, Intan Junita memulakan fasa baharu sebagai ahli perniagaan.

MENINGGALKAN kerjaya stabil dalam dunia korporat bukan satu keputusan mudah, apatah lagi sudah hampir sedekad berkecimpung dalam bidang profesional.

Namun bagi Intan Junita Rashid, 34, bekas peguam yang kemudiannya beralih ke dunia korporat, keputusan itu menjadi titik tolak kepada satu perjalanan baharu yang tidak dijangka.

“Saya seorang peguam dari segi profesion namun kemudian memilih laluan berbeza yakni dunia korporat dan bisnes startup.

“Saya suka membina sesuatu dari kosong. Fasa ini adalah antara pengalaman paling menyeronokkan dalam kerjaya saya,” katanya memulakan bicara bersama Majoriti.

BACA LAGI:Bekas jurutera sanggup jual nasi lemak, kuih kumpul modal untuk buka bisnes krim pelindung matahari mesra wuduk

BACA LAGI:[VIDEO] Sejak kecil berjiwa usahawan, Afiqah Dimyati jual minuman coklat di sekolah, pegang amanat terakhir arwah papa

Menubuhkan jenama keperluan ibu hamil, Boss Mama bersama seorang kenalan pada November 2020, Intan Junita bagaimanapun mengakui, bisnes itu bermula secara tidak sengaja.

Ujarnya, langkah berani itu diambil disebabkan sukar mencari pilihan bra mengepam yang berfungsi dengan baik, selesa dan tidak terlalu ketara dipakai.

Bagi Intan Junita yang ketika itu sedang mengandungkan anak kedua, Rayyan, bra materniti untuk ibu mengandung seperti itu adalah keperluan yang seharusnya diberi perhatian.

Bukan sekadar jenama, Boss Mama adalah satu misi untuk menghasilkan produk praktikal untuk ibu-ibu moden.— Boss Mama

Hanya berbekalkan pengalaman keibuan, semangat yang tinggi dan sokongan ahli keluarga, pengasas bersama Boss Mama itu memulakan fasa baharu sebagai ahli perniagaan.

"Ketika melalui rutin harian sebagai seorang ibu bekerjaya, saya menemui penyelesaian kepada cabaran yang dihadapi sendiri, terutamanya dalam hal penyusuan dan pengurusan masa.

“Kami temui produk yang membantu menyusukan anak dengan lebih mudah. Apabila kawan-kawan mula bertanya dan ingin mencuba, saya sedar ada keperluan sebenar di pasaran,” jelasnya yang mengambil keputusan berhenti kerja pada penghujung 2022, untuk memberi fokus pada Boss Mama.

Menceburi bidang penuh risiko, anak tunggal kepada cef selebriti, Puan Sri Shariffa Nisa Syed Hamid dan bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Zinin itu bersyukur keputusan itu mendapat sokongan penuh keluarga dan sahabat terdekat.

Ibu bapanya memainkan peranan penting dalam hidupnya, daripada memberi nasihat perniagaan, sokongan emosi hinggalah membantu menjaga anak-anak.

Tidak dinafikan katanya, ramai yang bertanya bagaimana dirinya berani meninggalkan kerjaya stabil untuk berkecimpung dalam dunia keusahawanan.

Intan Junita (kiri) bersama ibunya,Shariffa Nisa yang juga sumber kekuatan dalam hidupnya.— Instagram/junitarashid

"Jika ditanya siapa penghalang untuk meneruskan kerjaya ini, sayalah orangnya. Saya sering meragui kemampuan diri.

"Saya sendiri tidak pasti apa yang difikirkan pada waktu itu, tetapi saya percaya pada diri sendiri dan bertuah kerana memiliki sistem sokongan yang kuat," ungkapnya yang memulakan karier ketika berusia 21 tahun.

Produk selamat

Bagi Intan Junita, Boss Mama bukan sekadar jenama, sebaliknya ia adalah satu misi untuk menghasilkan produk praktikal, selamat dan bergaya untuk ibu-ibu moden.

Antara produk utama Boss Mama termasuk milk collector yang direka untuk memudahkan ibu menyusu tanpa perlu menukar pakaian.

"Penting bagi kami pastikan semua produk lulus Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan ikut standard keselamatan.

"Ramai masih belum sedar, ada banyak produk penyusuan di pasaran yang tidak selamat digunakan,” ujar ibu kepada dua cahaya mata itu.

Berkongsi lanjut tentang Produk Berdaya Maju Minimum (MVP) yang dinamakan Real-Support Bra, jelas Intan Junita, produk itu dihasilkan di Malaysia menggunakan bahan berkualiti tinggi, dengan mengutamakan keselesaan dan keselamatan ibu menyusu.

Kata lulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang daripada Aberystwyth University itu, nama tersebut dipilih disebabkan bra berkenaan mampu memberikan sokongan kepada seorang ibu sepanjang hari sambil membolehkannya menjalani rutin harian yang sibuk.

Diperbuat daripada gabungan khas kapas dan lycra, bra tersebut selesa dan tidak ketara apabila dipakai di bawah pakaian biasa.

"Ia sangat sesuai untuk tujuan mengepam susu dan menyusukan bayi atau kedua-duanya sekali pada masa sama," ujarnya.

Bermula dengan 250 unit pertama yang disangka cukup untuk tiga bulan, nemun habis terjual dalam masa seminggu, Boss Mama kini mampu menghasilkan sekitar 4,000 unit setiap bulan.

Selain Real-Support Bra, jenama tersebut turut memperkenalkan baju perubatan mesra ibu menyusu dan suplemen 7-Star Milk Booster, yang kini turut memasuki pasaran Singapura, Brunei dan Australia.

Ketahanan mental

Beralih ke dunia perniagaan, keputusan itu menjadi titik tolak kepada satu perjalanan baharu buat Intan Junita.— Instagram/junitarashid

Jelas usahawan jelita itu lagi, membangunkan sebuah perniagaan memerlukan bukan sahaja strategi yang kukuh, tetapi juga daya tahan mental.

“Apabila perniagaan berkembang, masalah operasional juga meningkat. Kos operasi, pengurusan pasukan, inovasi produk dan perkembangan media sosial, semua ini menjadi cabaran berterusan,” katanya.

Mengimbas kembali liku-liku perjalanan, beliau tidak menafikan bahawa ada saat yang mana semangatnya hampir luntur.

Peminat kopi itu tidak segan mengakui dirinya pernah beberapa kali mahu berputus asa, apatah lagi setiap bisnes memerlukan modal yang tinggi, sebelum hasil diperoleh.

Antara cabaran paling besar baginya adalah dari segi pengurusan stok dan bekalan, terutama apabila produk dibuat sepenuhnya di Malaysia.

“Kadang-kadang kain sampai lewat, atau pelanggan menunggu produk yang telah habis dijual.

"Situasi sebegini menjejaskan jualan harian dan ia sangat mencabar,” katanya sambil menekankan bahawa proses pembelian dan kawalan kualiti perlu sentiasa dipantau rapi.

Menjawab persoalan mengenai saluran jualan, beliau berkata, secara dalam talian adalah sumber utama mereka.

"Namun kami juga berada di beberapa lokasi fizikal seperti Babyland dan pelbagai lokasi di Lembah Klang.

"Malah kami kini berusaha untuk menembusi lebih banyak lokasi di luar Lembah Klang seperti Sabah dan Johor Bahru, Johor,” luahnya teruja.—Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram