Kadar kelahiran turun 11.5 peratus, terendah pernah direkodkan, bayi lelaki lebih ramai — DOSM


  • Massa
  • Rabu, 14 Mei 2025

Jumlah kelahiran hidup pada suku pertama 2025 merupakan rekod terendah pernah direkodkan.

JUMLAH kelahiran hidup di negara ini merekodkan penurunan sebanyak 11.5 peratus iaitu 93,500 kelahiran pada suku pertama tahun ini berbanding 105,613 kelahiran tempoh sama tahun lalu.

Berdasarkan laporan Perangkaan Demografi yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Rabu, bayi lelaki melebihi bayi perempuan dengan 48,124 kelahiran berbanding 45,376 kelahiran, dengan nisbah jantina bagi kelahiran hidup ialah 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah kelahiran hidup pada suku pertama 2025 merupakan rekod terendah pernah direkodkan.

BACA LAGI: Kelahiran bayi berat kurang 2,500 gram di Malaysia semakin membimbangkan

BACA LAGI: Jepun makin 'kritikal', anak muda enggan berkahwin punca populasi penduduk menurun hampir 900,000

"Secara purata seorang bayi dilahirkan pada setiap minit, 43 bayi bagi setiap jam dan 1,039 bayi sehari pada suku pertama 2025.

"Selangor mencatatkan bilangan kelahiran tertinggi dengan 18,254 (19.5 peratus), manakala Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan yang terendah dengan 278 kelahiran (0.3 peratus),” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Majoriti kelahiran direkodkan daripada ibu berusia 30 hingga 39 tahun dengan 49,816 kelahiran (53.3 peratus), diikuti kumpulan umur 20 hingga 29 tahun dengan 36,775 kelahiran (39.3 peratus).

Selain itu, hanya 1.4 peratus atau 1,316 kelahiran melibatkan ibu berumur kurang daripada 20 tahun.

Dari segi etnik pula, Melayu menyumbang 68.8 peratus (64,326 kelahiran), diikuti oleh Bumiputera Lain (12.6 peratus), Cina (8.6 peratus) dan India (3.8 peratus). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram