
PARA suami diharapkan agar lebih memahami perubahan besar yang dialami isteri selepas bersalin, terutamanya dalam tempoh awal membesarkan anak.
Perkara itu ditegaskan menerusi perkongsian Kaunselor Laktasi Bertauliah, Nad Masrom di Instagram miliknya, susulan tindakan seorang suami yang mempertikaikan keupayaan isterinya melakukan kerja rumah selepas melahirkan anak.
Susulan itu, Nad Masrom menzahirkan rasa kecewa terhadap sikap sesetengah suami yang tidak memahami perubahan dialami isteri dalam tempoh berkenaan.
BACA LAGI: Salah posisi, 'tongue-tie' sering jadi punca utama puting ibu sakit ketika menyusu
Menurutnya, perubahan fizikal, mental, emosi dan hormon adalah perkara biasa dialami setiap wanita selepas bersalin serta sepatutnya difahami dengan penuh empati, bukan dibandingkan secara tidak adil.
“Kalau kalian tak boleh nak jaga isteri dengan baik, tolong hantar balik kepada mak ayah mereka,” katanya sambil menekankan seruan itu bukan berkaitan agenda feminisme, tetapi soal tanggungjawab asas dalam perkahwinan.
Beliau turut menyentuh tentang cabaran ibu menyusukan bayi, yang mana hormon seperti oksitosin berperanan memberikan rasa tenang yang menyebabkan ibu turut tertidur bersama bayi.
Itu katanya, adalah satu-satunya masa rehat bagi seorang ibu yang menjaga bayi kecil dan ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mempertikai kecekapan mereka.
Tambah beliau lagi, dalam tempoh tiga bulan pertama kelahiran, ibu bapa memang memerlukan teknik penjagaan bayi yang betul, tetapi tidak semua berpeluang mendapat akses kepada ilmu tersebut.
Nad Masrom berkata, peranan suami sangat penting untuk turut serta belajar dan membantu.
“Suami yang bertanggungjawab ialah mereka yang ada ilmu dan tahu bagaimana memenuhi keperluan isteri, bukan sekadar bekerja lalu melabelkan isteri sebagai pemalas.
"Bantu fahami isteri pun dah cukup dah. Tak payahlah nak cakap, beras aku beli, kalau keperluan isteri pun tak dipenuhi.
"Belajar jadi suami mithali, bukan asyik salahkan isteri,” ujarnya.
Nad Masrom turut mempersoalkan sejauh mana penglibatan suami dalam pembelajaran tentang keibubapaan, seperti menghadiri kelas penyesuaian selepas kelahiran.
Tegas beliau, tugas membesarkan anak bukanlah tanggungjawab isteri semata-mata, sebaliknya perlu dipikul bersama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram