Asid folik bukan toksik, bantu elak kecacatan anak seawal trimester pertama


  • Relaks
  • Selasa, 29 Apr 2025

Pengambilan asid folik cukup penting buat ibu hamil bagi mencegah kecacatan kelahiran. — Gambar hiasan/Freepik dijana oleh AI

PENGAMBILAN asid folik merupakan satu keperluan buat setiap ibu hamil bantu mencegah kecacatan kelahiran terutamanya pada trimester pertama.

Merupakan antara suplemen disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pihak hospital akan membekalkan perubatan itu pada setiap ibu mengandung bagi membentuk saraf tunjang sihat bayi.

Namun, kebelakangan ini timbul dakwaan mengatakan asid folik sebagai sejenis toksik yang boleh menjadi punca kelahiran anak autisme dan sindrom Down.

BACA LAGI: [VIDEO] Trend 50/50 lepas kahwin, UAI tegaskan isteri tak wajib keluar satu sen pun walaupun bergelar jutawan

BACA LAGI: 'A late bloomer', Syeikh Muszaphar kongsi perubahan anak ke-2 dari 'introvert' ke 'outspoken'

Pengasas Jamu Ratu Malaya, Rozita Ibrahim menerusi hantaran tular di laman sosial melarang pengambilan suplemen itu dan lebih mensarankan sayuran berkhasiat buat ibu mengandung.

"Minta maaf nak cakap ya apabila saya belajar holistik, asid folik yang kita makan itu adalah toksik sebab kalau bukan kalsium ialah kapur.

"Asid folik itu menambahkan darah menguatkan janin sebelum dia mengandung jadi sebenarnya folik asid tu terdapat pada banyak makanan

"Sebab itu kalau kita faham holistik kita akan melihat hebatnya ALLAH menjadikan kepada keseimbangan, asid folik ni terdapat banyak pada sayuran," katanya.

Bagaimanapun, menerusi kajian antarabangsa, peranan asid folik membantu mencegah kecacatan tiub saraf seperti spina bifida dan anencephaly.

Nutrien ini juga menyokong penghasilan sel darah merah, membantu pembentukan DNA dan mengurangkan risiko keguguran dan kelahiran pramatang.

Kajian pakar mendapati risiko kecacatan tiub saraf (NTD) mampu berkurang apabila seseorang ibu hamil itu mendapatkan asid folik tambahan dalam diet seharian.

Wanita disarankan mengambil sekurang-kurangnya 400 mikrogram (mcg) asid folik setiap hari, sebaik-baiknya sebulan sebelum kehamilan dan diteruskan sepanjang trimester pertama.

Sumber asid folik boleh didapati melalui suplemen serta makanan seperti sayur-sayuran berdaun hijau, buah-buahan sitrus, kekacang dan bijirin yang diperkaya.

Justeru, asid folik yang konsisten dan mencukupi adalah langkah pencegahan utama bagi memastikan kehamilan yang sihat dan perkembangan bayi yang sempurna.

Dalam apa jua situasi para wanita hamil harus mendapatkan rujukan dan rundingan daripada pakar perubatan sebelum membuat keputusan sendiri yang berisiko menjejaskan kondisi bayi dan ibu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram