
SELEBRITI dan pempengaruh Dahlia Rizal, atau nama lengkapnya Nur Dahlia Ahmad Rizal selamat bergelar ibu selepas melahirkan cahaya mata sulungnya pada Rabu.
Menerusi perkongsian suaminya, Imran Aqil di laman Instagram, anak perempuannya yang seberat 2.85 kilogram itu dilahirkan secara pembedahan Caesar atau C-section.
Pun begitu, tumpuan laman sosial lebih terarah kepada hantaran Imran berkaitan pengorbanan isterinya yang disuntik jarum epidural sehari sebelum bersalin.
BACA LAGI: Air mesin penapis tak selamat diminum bayi? Ketahui kaedah terbaik bancuh susu formula
BACA LAGI: 'A late bloomer', Syeikh Muszaphar kongsi perubahan anak ke-2 dari 'introvert' ke 'outspoken'
Menafikan sekeras-kerasnya istilah 'cheat code' yang tular di laman sosial kebelakangan ini, bekas penyampai radio itu cukup tersentuh melihat pengorbanan dan perjuangan seorang ibu dalam melahirkan cahaya mata.
"Hari ini aku temani isteriku, menghadapi satu lagi fasa ujian sebagai seorang ibu, aku saksikan sendiri kesakitannya, dari mula mengandung, sampai ke saat dia ambil suntikan epidural hari ini.
"Ada yang cakap ini ‘cheat code’ untuk kurangkan sakit bersalin tapi aku sendiri terkejut tengok jarumnya.
"Tak ada yang ‘cheat’ bila bercakap tentang perjuangan seorang ibu,” katanya.
Perkongsian itu sekali gus menjawab segala spekulasi serta stigma masyarakat yang selama ini memandang rendah pada wanita hamil yang menerima suntikan epidural tersebut.
Apa itu suntikan epidural
Epidural merupakan ubat bius yang disuntik ke ruang tulang belakang bagi mengurangkan kesakitan semasa proses kelahiran.
Memberikan kesan kelegaan sementara, kaedah itu membolehkan si ibu fokus untuk bersalin tanpa dibebani kesakitan yang melampau terutamanya ketika dalam tempoh kontraksi.
Bukan berperanan sebagai 'cheat code', si ibu masih akan merasa kesakitan namun ia membantu mengurangkan risiko ataupun sebarang komplikasi ketika bersalin.
Boleh diambil pada bila-bila masa dimahukan, namun waktu paling disarankan untuk mengambil suntikan itu adalah ketika si ibu berada dalam sebenar-benar fasa kelahiran aktif bila mana servik wanita sudah terbuka antara 4 hingga 5 sentimeter (cm).
Penjelasan pakar
Pakar perubatan wanita dan pengasas Efferty International Sdn. Bhd, Dr. Raihana Ismail menjelaskan bahawa suntikan epidural bukan sekadar kaedah perubatan yang diwujudkan tanpa hala tuju.
Sebaliknya, ia adalah satu pilihan yang bertujuan membantu ibu mengandung mengurangkan risiko ketika bersalin.
Jelasnya, suntikan epidural bukan bermakna ibu mengelat atau lari daripada kesakitan, namun ia membantu mengurangkan rasa sakit semasa kontraksi dan proses kelahiran.
Walaupun rasa sakit berkurang, ibu masih sedar dan mampu meneran, mengalami tekanan semula jadi kelahiran tanpa kesakitan melampau yang boleh menyebabkan trauma.
"Ramai anggap bahawa ibu yang memilih epidural dianggap 'mengelat' kerana tidak mengalami kesakitan sepenuhnya seperti zaman dahulu yang dikatakan lebih kuat kerana terpaksa menahan sakit secara semula jadi," katanya.
Jelasnya, keputusan untuk menggunakan epidural sering kali dibuat bagi mengelakkan trauma dan ketakutan melampau semasa bersalin serta membantu mengawal tekanan darah bagi ibu yang berisiko.
"Penggunaan epidural juga membolehkan ibu berehat dan tidur seketika bagi menyimpan tenaga untuk proses meneran. Malah, dalam sesetengah kes, suntikan ini diberikan atas nasihat doktor, bukan sekadar pilihan sendiri," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram