
SEJAK kelahiran Imane Lunara pada 15 Disember 2024, pelakon, Intan Najuwa kerap memuat naik pelbagai momen tumbesaran anaknya, Imane Lunara di media sosial, termasuk beberapa foto serta video harian mereka bersama.
Sebelum ini juga, Intan atau nama lengkapnya Intan Najuwa Abdul Wahid, 28, pernah memberitahu bahawa suaminya, Datuk Ahmad Azraf Azman mengupah jururawat peribadi, selain memiliki tiga lagi pengasuh bagi memastikan puteri mereka sentiasa dijaga dengan baik.
BACA LAGI: Elak Intan Najuwa penat, rehat mencukupi suami upah 3 pengasuh, jururawat peribadi urus anak
BACA LAGI: [VIDEO] Travel solo ke Jepun, wanita terkejut temui lelaki sembunyi bawah katil di bilik hotel
Tangkap layar laporan harian yang diterima Intan Najuwa daripada jururawat peribadinya. — Instagram/intannajuwa
'Sementara itu, dalam hantaran terbaharu bintang drama bersiri Kekasih Paksa Rela itu, beliau berkongsi tangkap layar jururawat peribadinya menghantar laporan mengenai perkembangan Imane Lunara setiap hari.
Laporan tersebut bukan sahaja memperincikan masa tidur, penyusuan dan mandian bayi, malah turut mencatat keadaan kesihatan seperti pemeriksaan dada dan perut.
"Bagi mereka yang tertanya-tanya tugas jururawat Lunara yang tinggal bersama kami di rumah, beliau sangat membantu saya sebagai ibu baharu.
"Pada waktu siang, beliau bantu dalam perkembangan dan kesihatan Lunara. Selepas pukul 7 malam, beliau masih berada dalam rumah sebagai persediaan sekiranya diperlukan, manakala pengasuh malam akan mengambil alih tugas penjagaan.
"Saya terima laporan aktiviti harian Lunara dan ini sangat membantu saya yang sering risau sebagai seorang ibu.
"Saya akan terus kongsikan perjalanan bersama Lunara memandangkan ramai yang ingin mengetahuinya!" ujarnya.
Laporan tersebut antara lain memperincikan masa tidur, penyusuan dan mandian Imane Lunara. — Instagram/intannajuwa
Intan Najuwa bagaimanapun berkata, dirinya banyak meluangkan masa di rumah bagi memastikan perkembangan anaknya sentiasa berada dalam pantauan.
“Saya berada di rumah hampir sepanjang masa, jadi saya tahu segala aktiviti Lunara dan sentiasa bersamanya,” katanya.
Tambahnya, sebagai seorang ibu buat pertama kali, beliau mengakui perasaan kekok itu tidak dapat dielakkan, namun bantuan dan sokongan yang diterima amat memudahkan proses penjagaan anaknya.
“Saya semak laporan perkembangan Lunara setiap malam untuk memastikan semuanya dalam keadaan baik dan untuk tahu segala tentang dirinya.
"Impian utama saya adalah untuk menjadi ibu terbaik yang saya boleh jadi," jelasnya.
Untuk rekod, Intan Najuwa mendirikan rumah tangga bersama pasangannya yang juga seorang usahawan pada 18 Ogos 2023 dan dikurniakan cahaya mata pertama bernama Imane Lunara.. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram