[VIDEO] 'Elok dah tak payah buat', perhimpunan RXZ Members tak ubah seperti 'pesta bulls' di Sepanyol


  • Tular
  • Jumaat, 22 Ogos 2025

Setiap kali program RXZ Members dianjurkan sejak tujuh tahun lepas, pasti ada dalam kalangan pesertanya kemalangan.

BEBERAPA penunggang motosikal dipercayai cedera parah selepas terbabit dalam kemalangan ketika berkonvoi di sebuah lebuh raya menuju ke Pantai Timur.

Difahamkan, semua mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ dalam perjalanan menuju ke program Himpunan RXZ Members 7.0 yang berlangsung di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak pada Jumaat hingga 23 Ogos ini.

Berdasarkan maklumat awal, kejadian dipercayai berlaku pada Jumaat itu terjadi apabila salah sebuah motosikal mangsa bergesel sesama sendiri sebelum mengakibatkan beberapa penunggang lain terlibat sama dalam kemalangan.

BACA LAGI: [VIDEO] Himpunan ‘RXZ Members’ dilabel ikut iblis, tak ramai sedar ada elemen tarbiah

BACA LAGI:Himpunan RXZ Members 6.0 rekod 3 kes kematian, polis keluarkan 89 saman

Walaupun tiada maklumat lanjut mengenai kejadian serakat ini, insiden itu tetap hangat diperkatakan selepas dimuat naik pengguna media sosial, Saiful Ynwa di laman Facebook miliknya pada Jumaat.

Manakan tidak, walaupun kejadian seperti itu bukan kali pertama berlaku, namun setiap kali program RXZ Members dianjurkan, pasti ada dalam kalangan pesertanya kemalangan.

Ada yang cedera, malah tidak kurang juga meragut nyawa. Tragedi seperti itu menimbulkan kebimbangan masyarakat yang melihat program tersebut seakan-akan sinonim dengan insiden di jalan raya.

Malah ada yang berpendapat, sikap sesetengah penunggang yang teruja berkonvoi dalam jumlah besar menjadikan lebuh raya sebagai ‘litar perlumbaan tidak rasmi’, sekali gus mengundang risiko kemalangan.

Bahkan Saiful sendiri, menyifatkan kemalangan dalam acara RXZ berkenaan sudah menjadi lumrah tahunan.

“Tiap tahun event RXZ Members mesti ada yang kemalangan, malah ada juga yang maut. Dah macam pesta ‘bulls’ dekat Sepanyol, setiap kali buat ada saja cedera dan maut. Bezanya lembu dengan motor je,” tulisnya dengan nada sinis.

Pandangan sama dikongsi Ajiezuher Zuher yang menegaskan punca sebenar terletak pada sikap penunggang itu sendiri.

“Program itu tak salah, yang bawa motosikal itu yang bawa malapetaka. Kalau macam ini setiap tahun, elok tak payah buatlah.

"Bila dah ramai-ramai konvoi, memang ada yang cucuk angin. Darah muda katanya,” tulisnya.

Sementara itu, Afat Uj mengingatkan agar penunggang lebih berhemah.

“Cara pemanduan motosikal kena berhemah, jangan jadikan jalan raya sebagai litar perlumbaan,” ujarnya.

Seorang lagi pengguna, Syafiq Hamdam, menegaskan bahawa keselamatan perlu sentiasa diberi keutamaan.

“Ingatkan keselamatan ketika berkonvoi, jangan biar perhimpunan RXZ Members dicemari tragedi sama setiap tahun,” katanya.

Persoalan kini, adakah himpunan RXZ ini wajar diteruskan dengan kawalan keselamatan lebih ketat, atau dihentikan sama sekali demi mengelakkan insiden berulang?

Bagi sesetengah pihak, acara ini memberi nilai sentimental kepada komuniti pemilik RXZ.

Namun bagi masyarakat umum, ia membawa lebih banyak kebimbangan berbanding manfaat, apatah lagi apabila tragedi berlaku saban tahun.

Akhirnya, segala bergantung pada sikap penunggang itu sendiri. Jika himpunan dijadikan medan nostalgia tanpa mengabaikan disiplin di jalan raya, mungkin acara ini mampu kekal sebagai pesta tahunan yang meriah. Tetapi jika sikap sambil lewa terus berulang, tidak mustahil kemeriahan itu hanya tinggal igauan ngeri buat mereka yang terlibat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram