[VIDEO] 'Lebuh raya di Malaysia tiada lorong laju, hanya laluan memotong', nahas di Kesas patut jadi iktibar


  • Tular
  • Jumaat, 15 Ogos 2025

Keadaan Alza yang terbakar selepas dirempuh KIA Carnival (gambar kecil) di Lebuhraya KESAS pada Jumaat. — Gambar/ Khairul Muhidin

PERATURAN jalan raya menetapkan lorong kiri sebagai laluan untuk kenderaan yang bergerak perlahan, manakala lorong kanan hanya digunakan untuk memotong atau kenderaan yang bergerak lebih laju.

Amalan ini penting bagi memastikan kelancaran trafik dan mengurangkan risiko pelanggaran dari belakang, terutamanya di lebuh raya yang mempunyai aliran kenderaan pelbagai kelajuan.

Namun, pengabaian peraturan tersebut boleh mengundang tragedi kemalangan jalan raya yang boleh meragut nyawa.

BACA LAGI: Bukan murung, wanita mengamuk di Kajang rupanya stres melampau

BACA LAGI: Anak Rafizi Ramli dicucuk jarum suntikan dalam serangan misteri di Putrajaya

Melalui perkongsian seorang penggua Facebook, Khairul Muhidin, berdepan detik cemas apabila menyaksikan sendiri kemalangan ngeri membabitkan sebuah Perodua Alza yang terbakar selepas dirempuh sebuah KIA Carnival di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) awal pagi Jumaat.

Menurut Khairul, kejadian itu berlaku apabila sebuah Perodua Alza terbakar selepas dirempuh sebuah KIA Carnival yang dipandu laju berhampiran susur keluar Kampung Jalan Kebun dari arah Port Klang, Selangor.

"Dalam kejadian kira-kira pukul 1.25 pagi itu, pemandu wanita Alza bersama dua penumpang sempat keluar menyelamatkan diri sebelum kenderaan tersebut meletup.

"Salah seorang penumpang dilaporkan mengalami kecederaan parah di bahagian lengan, manakala pemandu KIA Carnival dipercayai memandu pada kelajuan tinggi sebelum hilang kawalan dan merempuh bahagian belakang Alza," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Tegas Khairul lagi, kemalangan seperti ini seharusnya menjadi pengajaran kepada semua pemandu bahawa mematuhi had laju sahaja tidak mencukupi sekiranya lorong yang digunakan tidak tepat dengan kelajuan kenderaan.

“Kalau kita bergerak perlahan, pastikan di lorong kiri. Lorong kanan lebih berisiko jika kita tidak memandu laju kerana kemungkinan besar akan dirempuh dari belakang,” katanya.

Rakaman video yang dikongsikan Khairul menunjukkan Alza dipandu perlahan di lorong kanan sebelum dirempuh KIA Carnival yang datang dari arah belakang pada kelajuan tinggi.

Menjengah ke ruangan komen, seorang pengguna, Zan Tsuky, berkata lorong kanan tidak wajar digunakan oleh pemandu yang bergerak perlahan.

"Kereta memang laju di lorong kanan, tapi ada juga yang memandu macam kura-kura. Dah bagi lampu tinggi pun masih tak ke tepi, kena hon panjang baru nak marah,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Namaku Hafiz, menegaskan ramai pemandu salah tafsir peraturan jalan raya.

“Kita ni selalu salah tafsir jalan raya. Pertama, setiap jalan ada had lajunya iaitu 30, 50, 70, 90 atau 110 kilometer sejam.

"Kedua, di lebuh raya Malaysia tiada lorong laju, hanya lorong memotong.

"Ketiga, peringatannya jelas iaitu ikut kiri jika tidak memotong. Belum pernah jumpa peraturan ikut kanan untuk kelajuan maksimum,” katanya.

Insiden itu menjadi peringatan jelas bahawa penggunaan lorong dengan betul adalah sama penting dengan mematuhi had laju, kerana satu kesilapan kecil di lebuh raya boleh mengancam nyawa pemandu dan pengguna jalan raya lain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram