Wanita warga asing tarik tudung, serang pegawai Imigresen di KLIA, KPISM tuntut tindakan tegas tanpa kompromi


  • Massa
  • Jumaat, 15 Ogos 2025

Seorang wanita warga China (kiri) ditahan kerana bertindak agresif dan mencederakan pegawai kaunter imigresen (kanan) ketika pemeriksaan pelepasan di KLIA pada Khamis.

KESATUAN Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) mengutuk sekeras-kerasnya insiden serangan fizikal terhadap seorang pegawai wanita Jabatan Imigresen Malaysia pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 malam itu, suspek yang juga warga China bertindak memaki hamun, menarik tudung serta menolak kepala pegawai terbabit sehingga menyebabkan kecederaan ringan di Kaunter Pemeriksaan Imigresen, Balai Berlepas, KLIA Terminal 1 dekat Sepang, Selangor.

Tindakan pantas pasukan keselamatan lapangan terbang berjaya mengawal keadaan sebelum kes dirujuk kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut dan tindakan undang-undang.

BACA LAGI: Bukan murung, wanita mengamuk di Kajang rupanya stres melampau

BACA LAGI: Anak Rafizi Ramli dicucuk jarum suntikan dalam serangan misteri di Putrajaya

Presiden KPISM, Ajeet Singh Gurbax Singh berkata, mana-mana individu yang mencederakan penjawat awam, sama ada rakyat tempatan atau warga asing, boleh dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang Malaysia.

“Tindakan seperti ini mencabar kedaulatan undang-undang negara. Setiap pelancong wajib menghormati peraturan negara yang mereka lawati,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Presiden KPISM, Ajeet Singh Gurbax Singh

KPISM turut menyeru pihak pengurusan Agensi Kawalan Pintu Sempadan (AKPS) mengambil langkah proaktif memastikan keselamatan pegawai bertugas dan pelancong, termasuk meneliti semula cadangan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di semua kaunter pemeriksaan.

Menurutnya, siasatan perlu dipercepatkan dan pendakwaan dilakukan tanpa kompromi terhadap pelaku.

Pada masa sama, KPISM memberi sokongan penuh termasuk bantuan kebajikan dan guaman kepada pegawai terlibat sehingga proses keadilan selesai.

“Pegawai imigresen adalah benteng hadapan kedaulatan negara. Mengasari mereka ketika bertugas bukan sahaja biadab, malah mencemarkan imej negara dan mengancam keselamatan di pintu masuk antarabangsa,” tegasnya.

Terdahulu, media pada Khamis melaporkan seorang wanita warga China ditahan kerana bertindak agresif dan mencederakan pegawai kaunter imigresen.

Kejadian berlaku apabila empat warga China terdiri daripada dua dewasa dan dua kanak-kanak menjalani pemeriksaan pelepasan imigresen.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) berkata, pegawai kaunter mendapati kesemua mereka tidak mempunyai rekod pergerakan masuk dan merujuk kepada Penyelia Pasukan untuk semakan lanjut.

Bagaimanapun katanya, suspek terbabit tidak berpuas hati apabila diminta memberi laluan kepada penumpang lain sementara semakan dibuat.

Suspek kemudian mengeluarkan perkataan kesat kepada pegawai, sebelum menarik tudung pegawai terbabit dan menolak kepalanya dengan kuat ke arah tiang di hadapan kaunter. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram