
SEORANG guru sebuah sekolah didakwa di Mahkamah Majistret Sepang, Selangor pada Khamis atas pertuduhan menimbulkan kegentaran awam berkaitan kes arwah Zara Qairina Mahathir yang didakwa dimasukkan dalam mesin basuh.
Bagaimanapun, memetik laporan Harian Metro, Siti Hajar Aflah Sharuddin, 39, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.
Mengikut pertuduhan, cikgu Bahasa Inggeris itu didakwa membuat kenyataan yang mungkin menimbulkan kegentaran awam dan boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
BACA LAGI : Ibu Zara Qairina tidak pernah minta sebarang kutipan derma bayar peguam, khidmat secara pro bono
BACA LAGI : Ibu bapa mangsa buli boleh ambil tindakan sivil jika pelaku masih di bawah umur — Peguam
Ibu tunggal itu didakwa membuat kenyataan di akaun TikTok miliknya pada 1.20 tengah hari, 6 Ogos lalu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau dengan kedua-duanya.
Terdahulu, tular satu video memaparkan Siti Hajar mendakwa Zara Qairina cedera parah selepas dimasukkan dalam mesin basuh.
Dakwaan Siti Hajar itu turut mengundang kemarahan orang awam sehingga turut dikongsikan negara lain.
Media sebelum ini melaporkan Zara Qairina, pelajar tingkatan satu, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Limauan, Sabah, ditemui tidak sedarkan diri dekat longkang asrama sekolah pukul 3 pagi, 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram