[VIDEO] Anak jati Kedah raja trek, lebur rekod 100 meter di MSSM Perlis


  • Podium
  • Selasa, 19 Ogos 2025

Aiman Ikhwan mencuri tumpuan pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) ke-65 di Perlis. — Facebook Azrail bin Khaidzir

PELARI pecut Kedah, Aiman Ikhwan Yahya, mencuri tumpuan pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) ke-65 di Perlis selepas memecahkan rekod kebangsaan bawah 18 tahun dalam acara 100 meter pada Selasa.

Aksi cemerlang atlet muda itu juga berjaya dirakam oleh para penyokong yang berada pada kejohanan tersebut.

Melaui perkongsian seorang pengguna Facebook Azrail bin Khaidzir, Aiman mencatat masa 10.40 saat, sekali gus memperbaharui rekod lama 10.51 saat milik atlet Johor, Danish Iftikar Muhammad Roslee yang dilakukan pada MSSM 2024.

BACA LAGI: Tunggu masa debut, 3 ciri Tommy Mawat mungkin muncul 'duri dalam daging' di bumi Kenyalang

BACA LAGI: 'Anak-anak rasa dihargai', pelukan ibu jadi kekuatan di gelanggang sukan

Untuk rekod, pada MSSM tahun lalu ketika masih menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kulim, Aiman sekadar meraih pingat perak dalam acara sama.

Tambah Azrail lagi, anak jati Kulim itu kini dibimbing jurulatih pecut legenda negara, Mohd Poad Md Kassim, yang berkhidmat di Sekolah Sukan Negeri (SSN) Kedah, SMK Tunku Anum, Kubang Pasu.

"Poad juga sebelum ini pernah melahirkan dua juara 100m Sukan SEA, iaitu Khairul Hafiz Jantan dan Haiqal Hanafi," kongsinya.

 

 

 

 

Menjengah ke ruangan media sosial, rata-rata netizen meluahkan rasa kagum terhadap pencapaian Aiman yang disifatkan sebagai permata baharu olahraga negara.

Seorang pengguna Facebook, Sulaiman Hamdi berkata menyifatkan catatan 10.40 saat itu begitu mengagumkan memandangkan Aiman masih berstatus pelajar sekolah.

"Aku tengok video dia berlari macam 'terbang atas trek'. Bangga betul tengok anak muda Kedah," tulisnya.

Sementara itu Qistina Azian pula menganggap kejayaan tersebut sebagai petanda Malaysia berpotensi melahirkan pelari bertaraf antarabangsa sekiranya bakat Aiman terus diasah secara konsisten.

"Macam tengok Usain Bolt versi Malaysia. Kalau terus dibimbing betul-betul, tak mustahil dia boleh pecah rekod kebangsaan senior nanti," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram