
PENYEBARAN berita mengenai pembabitan cucu kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah dalam kes Zara Qairina Mahathir bertebaran di media sosial hingga menimbulkan situasi tidak tenteram dalam kalangan masyarakat seluruh negara.
Susulan itu, kerajaan mengambil pelbagai langkah untuk meredakan keadaan hinggakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah tampil memaklumkan kepada ahli Parlimen pada perkembangan terkini siasatan kes kematian Zara Qairina Mahathir.
Pada sesi pagi persidangan Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Kulim Bandar Bahru itu memaklumkan bahawa siasatan mendapati dakwaan adanya pembabitan orang kenamaan adalah tidak benar.
BACA LAGI: Kes Zara: KDN sahkan ada elemen buli, gangguan seksual dan pengabaian
BACA LAGI: Inkues Zara Qairina ditetapkan September depan
"Malahan, ada yang menyatakan cucu Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tan Sri Anifah Aman juga terlibat juga tidak benar.
"Nama sama tetapi bukan cucunya.
"Siasatan kita menyeluruh dan terperinci. Siasatan polis tidak menemui semua itu. Hasil keterangan 195 saksi, tidak ada sama sekali nama-nama itu disebut," katanya pada Isnin.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
Beliau juga memaklumkan hala tuju siasatan kes tidak pernah berubah kerana elemen buli, gangguan seksual dan pengabaian tetap jadi keutamaan.
"Apabila mayat digali semula maka adanya pembabitan pakar patologi, kimia dan psikiatri.
"Malahan diari Zara juga dibuka dan diketahun di mana dia berada pada 10 malam, 1 pagi dan semuanya itu bukti yang dilengkapkan dalam siasatan untuk diketahui dimana Zara berada dan tahap fikiran Zara ketika itu," katanya.
Selain itu, kata Saifuddin lagi, fasa pertama siasatan kes itu hanya mengambil keterangan 38 individu.
Bagaimanapun, kata beliau sebaik kes diambil alih Bukit Aman, jumlah saksi yang diambil keterangan meningkat kepada 195 orang termasuk dalam kalangan rakan-rakan sekolah Zara Qairina. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram