
"SAYA ditempatkan bersendirian selama 13 hari di sebuah rumah perlindungan dan disoal siasat setiap hari oleh pegawai polis yang sama."
Itu dakwaan Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada Zayn Rayyan Abdul Matin, ketika memberi keterangan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor pada hari kedua perbicaraan pembelaan dirinya pada Selasa.
Menurutnya, sepanjang tempoh tersebut, dia disoal siasat dari pukul 9 pagi hingga 6 petang oleh anggota dari Cawangan Khas Kontinjen Polis Selangor dan mendakwa dirinya turut ditekan untuk mengaku membunuh anak kandungnya.
BACA LAGI : Kes Zayn Rayyan: Bapa bebas, ibu diperintah bela diri
BACA LAGI : Pasukan forensik temui kesan darah di bilik, tandas rumah Zayn Rayyan
"Polis cipta cerita kononnya saya yang jumpa Zayn Rayyan dan saya yang bunuh anak sendiri. Tapi bila saya nafikan, mereka tidak puas hati," katanya ketika disoal oleh peguam Haresh Mahadevan.
Ismanira turut memberitahu mahkamah bahawa dia tidak bersetuju untuk dibawa menghadap majistret ketika permohonan reman dibuat kerana dipaksa dan diugut.
“Saya beritahu majistret saya tidak bersetuju kerana saya telah dipaksa. Majistret kemudian terima pengakuan saya sebagai tidak bersalah,” katanya lagi.
Mayat Zayn Rayyan ditemui di anak sungai berhampiran kediamannya.
Dalam prosiding pada Isnin, Hakim Dr Syahliza Warnoh memerintahkan Ismanira membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Bagaimanapun, suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, 30, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan sama.
Pasangan itu sebelum ini didakwa mengabaikan Zayn Rayyan sehingga boleh menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak itu di kawasan sekitar Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai dekat Petaling Jaya, Selangor termasuk kawasan berhampiran sungai, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. — The Star/JUSTIN ZACK
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram