Kes Zayn Rayyan: Bapa bebas, ibu diperintah bela diri


  • Kes
  • Isnin, 21 Jul 2025

Zaim Ikhwan (kiri) dan Ismanira (dua dari kanan) ketika tiba di mahkamah bagi keputusan kes abai Zayn Rayyan pada Isnin.

MAHKAMAH Sesyen Petaling Jaya , Selangor memerintahkan ibu kepada kanak-kanak autistik, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, iaitu Ismanira Abdul Manaf, untuk membela diri atas pertuduhan mengabaikan anaknya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.

Hakim Dr. Syahliza Warnoh memutuskan demikian selepas meneliti keterangan serta bahan bukti yang dikemukakan sepanjang perbicaraan kes itu.

Bagaimanapun, suaminya yang juga tertuduh bersama, Zaim Ikhwan Zahari, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan yang sama.

BACA LAGI : Kesan darah ditemui dalam bilik milik Zayn Rayyan — Saksi

BACA LAGI : Zayn Rayyan mati akibat dijerut, ada kesan telinga dipotong — Pakar forensik

Pendakwaan menutup kes pada 24 April lalu selepas memanggil seramai 28 saksi sepanjang perbicaraan selama 20 hari yang bermula pada 4 Februari.

Antara saksi pendakwaan yang dipanggil termasuk individu pertama menemui mayat Zayn Rayyan, Faizul Najib Abd Munaim; pengasuh mangsa, Auni Afiqah Abas; perunding forensik perubatan, Dr. Rohayu Shahar Adnan; tiga pegawai penyiasat serta dua kanak-kanak berusia 10 tahun.

Mayat Zayn Rayyan ditemui di anak sungai berhampiran kediamannya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi manakala peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh mewakili kedua-dua tertuduh.

Zaim Ikhwan dan Ismanira, masing-masing berusia 30 tahun, sebelum ini didakwa atas kesalahan mengabaikan anak mereka dalam keadaan boleh menyebabkan kecederaan fizikal mangsa.

Kedua-duanya berbuat demikian di kawasan sekitar Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai hingga ke kawasan sungai berhampiran, antara pukul 12 tengah hari pada 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Untuk rekod, Zayn Rayyan, dilaporkan hilang pada 5 Disember 2023 sebelum mayatnya ditemui keesokan hari dalam sebuah anak sungai berhampiran kediamannya. — The Star 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram