
APA yang sepatutnya menjadi aktiviti santai dan riadah berubah menjadi ancaman nyawa apabila seorang penunggang motosikal cedera di leher selepas terkena tali layang-layang yang melintang di jalan berhampiran Taman Layang-Layang Metropolitan dekat Kepong, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Mangsa yang tidak didedahkan identitinya dipercayai dalam perjalanan menunggang motosikal ke satu destinasi apabila insiden itu berlaku.
Tali layang-layang yang dipercayai terputus, dilaporkan jatuh merentangi jalan berkenaan dan tidak kelihatan jelas pada pandangan mata.
BACA LAGI: Idea tayar terpakai jadi penghadang jalan di Krabi, wajar dilaksanakan di Sungai Korok
Walaupun hanya mengalami luka ringan, mangsa berkongsi detik cemas itu dalam satu video berdurasi lebih seminit yang kemudiannya dimuat naik semula ke laman Threads oleh pengguna bernama Darul Syam pada Isnin.
“Sekarang saya berada di Tasik Taman Metropolitan Kepong.
"Mohon pihak berkuasa atau mana-mana pihak terlibat ambil tindakan segera. Layang-layang terputus sampai ke jalan besar,” katanya sambil menunjukkan kesan luka di leher akibat terjerut tali tersebut.
Menurutnya, dia bernasib baik kerana memakai neck gaiter yang sedikit sebanyak mengurangkan kecederaan. Namun, bajunya koyak manakala beg yang dibawanya turut terputus terkena tali itu.
Menjengah ke ruangan komen di media sosial, rata-rata netizen menyuarakan kebimbangan dan menyifatkan kejadian seperti itu bukanlah baharu.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa mengesahkan kejadian terbabit.
Katanya, mangsa cedera selepas terkena tali layang-layang yang merentang di tengah jalan ketika melalui Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Taman Tasik Metropolitan.
"Kejadian berlaku ketika mangsa lelaki berusia 27 tahun sedang menunggang motosikal dari arah Batu Caves menghala ke Sri Damansara pada pukul 6 petang.
“Mangsa ketika itu berada di lorong tengah sebelum secara tiba-tiba terkena tali layang-layang tersangkut pada badan seterusnya ke leher sebelum tali tersebut terputus.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan lecur di leher namun tidak terjatuh dan sempat memberhentikan motosikalnya di tepi jalan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Tambah beliau, mangsa kemudian mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Selayang.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 80 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membahayakan pengguna jalan raya dengan membiarkan tali melintang di atas jalan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram