[VIDEO] 'Ingatkan cari ular tadi, rupanya pili bomba', tindakan pemilik rumah undang bahaya kawasan perumahan


  • Tular
  • Selasa, 22 Jul 2025

Tangkap layar menunjukkan sebuah pili bomba yang ditanam bersama pokok.

TINDAKAN tidak bertanggungjawab individu menanam pili bomba bersama sebatang pokok di kawasan hadapan rumahnya mendapat kecaman hebat daripada pengguna media sosial.

Manakan tidak, tindakan itu dianggap berbahaya dan menyusahkan orang awam yang lain sekiranya berlaku kebakaran di kawasan perumahan tersebut yang tidak didedahkan lokasinya.

Insiden itu tular selepas pemilik akaun TikTok, Ie Mem Knot, yang memakai seragam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), memuat naik satu rakaman video memaparkan situai berkenaan.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Nasib baik saya pakai neck gaiter', penunggang motosikal hampir hilang nyawa terjerut tali layang-layang di Kepong

BACA LAGI: Jejas tugas anggota penyelamat, pempengaruh Ija dan adik boleh dijel 2 tahun — Peguam

Dalam video berdurasi seminit lebih itu, kelihatan beberapa anggota bomba sedang mengorek tanah untuk memisahkan akar pokok yang ‘bersatu’ dengan pili bomba yang tertanam di kawasan tersebut.

Pemilik akaun berkenaan turut meluahkan rasa kecewa dengan tindakan pemilik rumah yang didakwa sanggup menyembunyikan pili bomba demi kepentingan landskap.

“Sikap dan perbuatan manusia di dunia serba canggih ini masih ada yang tidak tahu betapa pentingnya pili bomba, sanggup buat macam ini

“Sekiranya berlaku perkara sebegini, orang ramai dinasihatkan segera laporkan kepada pihak JBPM,” katanya dalam kapsyen.

Video tersebut turut mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya menyifatkan tindakan tersebut sebagai cuai dan mementingkan diri sendiri.

Sementara itu, seorang warga maya, Amin Syafiq @ Alongbp mengingatkan bahawa tindakan menghalang akses kepada pili bomba merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang.

"Menghalang pili bomba adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 26 Akta Perkhidmatan Bomba 1988. Sesiapa yang menutup, menghalang atau menyembunyikan pili bomba, atau menggunakannya untuk tujuan selain daripada memadam kebakaran, boleh dikenakan kompaun," katanya

Seorang lagi pengguna TikTok, abdul mumtalib turut mengecam tindakan pemilik rumah berkenaan

"Ingatkan cari ular tadi, rupanya pili bomba. Tak boleh bayangkan ada orang seperti ini," tulisnya.

Tindakan sebegitu bukan sahaja menyukarkan operasi kecemasan pihak bomba, malah boleh membahayakan nyawa dan harta benda sekiranya berlaku kebakaran di kawasan berdekatan.

JBPM sebelum ini pernah mengingatkan bahawa setiap pili bomba perlu bebas daripada halangan dan mudah dikenalpasti oleh anggota penyelamat sewaktu kecemasan.

Justeru, orang ramai disaran untuk melaporkan sebarang perbuatan yang menghalang pili bomba, serta tidak melakukan pengubahsuaian yang boleh menjejaskan fungsinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram