Jejas tugas anggota penyelamat, pempengaruh Ija dan adik boleh dijel 2 tahun — Peguam


  • Massa
  • Isnin, 21 Jul 2025

Tengku Nizaruddin (kanan) dan adiknya boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam.

TINDAKAN pempengaruh permotoran, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin dan adiknya, Tengku Abd Aziz Tengku Zainudin yang membuat laporan palsu berhubung kejadian kereta tenggelam di Sungai Tui dekat Muar, Johor disifatkan sebagai kesalahan jenayah serius.

Peguam, Suzana Norlihan Ujen berkata, tindakan itu boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam.

“Kes seperti ini bukan sahaja melibatkan pembohongan kepada pihak berkuasa, tetapi menyalah gunakan sumber penting seperti polis dan bomba yang sepatutnya digunakan untuk kes sebenar,” katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: ‘Tolong sedar dan bawa bertaubat', rakan rapat tampil dedah kronologi sebenar pempengaruh lari ke Thailand

BACA LAGI: Suami ada sejarah serangan jantung ketika memandu, kereta ditemukan dalam sungai di Muar

Beliau berkata, perbuatan tersebut lebih berat jika dilakukan individu berprofil tinggi kerana boleh menimbulkan panik serta kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Jika laporan palsu dibuat dengan niat menutup kesalahan, menipu pihak tertentu atau melindungi sesuatu, siasatan boleh diperluaskan di bawah undang-undang lain yang lebih berat,” katanya.

Suzana Norlihan Ujen

Selain Seksyen 182, beliau berkata, kedua-dua individu berkenaan boleh dikenakan tindakan di bawah:

1. Seksyen 177 Kanun Keseksaan – Memberi maklumat palsu kepada penjawat awam bagi tujuan rasmi.

Hukuman: Penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

2. Seksyen 203 Kanun Keseksaan – Menyembunyikan fakta atau memberi maklumat palsu berkaitan kesalahan.

Hukuman: Penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

3. Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) – Membuat panggilan palsu kepada bomba.

Hukuman: Denda hingga RM5,000 atau penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya.

Suzana berkata, laporan palsu yang dipercayai dibuat oleh Tengku Abd Aziz boleh mengakibatkan pembaziran masa, sumber dan tenaga pihak berkuasa, selain mengganggu operasi menyelamat yang sebenar.

Sebelum ini, dalam kejadian 15 Julai lalu, Ija dilaporkan hilang selepas kereta dipandunya kononnya tenggelam di Sungai Tui, Muar.

Susulan laporan itu, polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) selama empat hari termasuk menggunakan dron, namun hanya menemui sepasang selipar dan topi miliknya.

Siasatan polis mendapati lelaki berusia 38 tahun itu sengaja menenggelamkan kereta milik isterinya sebelum melarikan diri ke Thailand dengan bantuan adiknya, Tengku Abd Aziz.

Tindakan itu mengundang kemarahan orang ramai yang menyifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab dan membazirkan tenaga sumber kerajaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram