Diego Landis tak perlu bimbang, teladani 3 import Brazil jika mahu pikat hati fans Terengganu


  • Podium
  • Rabu, 23 Jul 2025

Kehadiran Diego Landis beri nafas baharu buat barisan pertahanan tengah TFC musim depan. — Facebook/TFC

TERENGGANU FC (TFC) terus memperkukuh skuadnya bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2025/26 apabila mengesahkan kehadiran pemain import baharu, Diego Landis dari Brazil.

Landis memiliki pengalaman luas di pentas Asia, termasuk pernah beraksi dalam Liga Thailand, satu kelebihan yang dijangka membantu benteng pertahanan TFC musim depan.

Pemain berusia 28 tahun itu menandatangani kontrak rasmi bersama skuad Penyu dan akan mengisi posisi pertahanan tengah di bawah kendalian ketua jurulatih, Badrul Afzan Razali.

BACA LAGI: Bukan hanya JDT, kelab Lembah Klang-Borneo juga 'bolot' pemain kebangsaan

BACA LAGI: Pestabola Merdeka serlah keunggulan bintang Cina dalam bola sepak Malaysia

 

 

 

Bagaimanapun, penyertaannya turut menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan penyokong, yang rata-rata masih menilai kemampuan sebenar pemain tersebut, lebih-lebih lagi ini merupakan penampilan pertamanya dalam saingan Liga Malaysia.

Sebilangan penyokong turut melahirkan kebimbangan terhadap kemampuan Landis untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan TFC memandangkan dia bukan sahaja pemain baharu dalam Liga M, malah bakal menjadi rekrut terbaharu dari Brazil menyarung jersi Terengganu.

Untuk rekod, pemain import dari Brazil bukanlah asing dalam sejarah TFC. Sejak awal 2000-an, mereka pernah menjadi watak penting yang mengangkat reputasi pasukan Hitam Putih itu di persada Liga Malaysia.

Antara nama yang masih segar dalam ingatan penyokong setia termasuk Paulo Rangel, David da Silva dan Fabio Flor masing-masing meninggalkan impak tersendiri dalam era mereka bersama TFC.

Paulo Rangel

Paulo sempat mempamerkan kualiti selaku penjaring tajam, menyumbang gol-gol penting dalam kempen Liga Super dan Piala FA. — Agensi 

Nama Paulo Rangel kekal terpahat dalam memori peminat TFC apabila penyerang prolifik itu menyertai skuad Penyu pada penghujung musim 2014.

Berbekalkan reputasi cemerlang bersama Selangor, kehadiran Rangel disambut tinggi harapan oleh penyokong yang mahu melihat sentuhan berbisa di jentera serangan pasukan.

Meskipun hanya beraksi singkat sehingga pertengahan 2015, Rangel sempat mempamerkan kualiti selaku penjaring tajam, menyumbang gol-gol penting dalam kempen Liga Super dan Piala FA.

Aksinya yang bertenaga serta kemahiran individu menjadikannya antara penyerang import paling menyerlah ketika itu.

Namun begitu, karier Paulo bersama TFC tidak bertahan lama apabila isu disiplin ketika dalam sebuah perlawanan sehingga menyaksikannya digantung menjadi punca kontraknya ditamatkan lebih awal.

Walaupun perjalanannya singkat, impak yang ditinggalkan Paulo terus dikenang sebagai antara penyerang terbaik yang pernah menyarung jersi skuad hitam putih.

Fabio Flor

Fabio Flor pernah menjadi permain yang digeruni dalam sejarah Liga Super. — Facebook/Budin

Di posisi pertahanan, nama Fabio Flor antara yang disebut sebagai ‘tembok kebal’ pasukan.

Beraksi dari 2005 hingga 2008, pemain itu dikenali dengan gaya permainan bertenaga, ketepatan membaca gerakan lawan serta disiplin tinggi di atas padang.

Karisma dan komitmen yang ditunjukkannya menjadikan beliau antara pemain import paling disegani dan dikenang penyokong sehingga kini.

Malah, legenda bola sepak negara, Safee Sali turut memuji kehebatan pemain tersebut.

Dalam podcast Sports Tarik, Safee menjelaskan Fabio mempunyai kelebihan fizikal sehingga membuatkannya bergelut setiap kali bertemu pasukan terbabit.

"Ada seorang pemain bernama Fabio (Flor) yang merupakan import dari Brazil, saya cukup benci dengannya! Saya amat tak suka setiap kali berdepan Terengganu, dia akan bermain.

"Ini kerana fizikalnya. Pertama sekali, dia tinggi dan keduanya, dia seorang yang keras. Dahulu, ketika saya masih bermain gaya permainan Terengganu dan bermain di sana membuatkan kami sukar meraih kemenangan jika dia diturunkan," katanya.

David da Silva

Sepanjang bersama skuad Pantai Timur , David mencipta tujuh gol dan satu bantuan jaringan dalam 15 perlawanan. — Facebook TFC

Musim 2021 pula menyaksikan kehadiran David da Silva, yang memperkukuh barisan serangan dengan penyudah klinikal serta gerakan pantas dalam kotak penalti.

Walaupun hanya semusim bersama TFC, kehadirannya cukup memberi variasi dalam strategi serangan skuad kendalian ketika itu.

Selepas meninggalkan Terengganu, dia terus mencipta nama dalam saingan Liga Indonesia bersama Persib Indonesia yang juga merupakan pasukannya sehingga hari ini.

Sepanjang bersama skuad Pantai Timur itu, David mencipta tujuh gol dan satu bantuan jaringan dalam 15 perlawanan.

Dengan kemasukan Diego Landis, penyokong TFC pastinya berharap pemain itu mampu mengikut jejak langkah legenda Brazil yang pernah memukau di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Sama ada Landis mampu mengulangi pencapaian mereka, hanya masa yang akan menentukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram