[VIDEO] 'Ini bukan isu kecil, ini soal hak sebagai rakyat Malaysia’, lambakan warga asing di Klang makin meresahkan


  • Massa
  • Isnin, 21 Jul 2025

Tangkap layar motosikal warga asing yang diubah suai (kiri) dan tindakan pengotor warga asing yang membuang sampah di tempat awam di Klang.

LAMBAKAN warga asing yang kian bertambah di sekitar kawasan Klang, Selangor semakin meresahkan penduduk tempatan apabila ada dalam kalangan mereka didakwa seolah-olah bermaharajalela dan sewenang-wenangnya melanggar undang-undang.

Menerusi satu hantaran tular yang dimuat naik di laman Facebook Persatuan Penduduk Taman Meru Klang, meluahkan rasa kecewa terhadap pihak berkuasa yang dilihat seolah-olah membiarkan isu berkenaan berlarutan tanpa penyelesaian tuntas.

“Pendatang makin berani. Makin biadab. Langgar undang-undang terang-terang, tapi tiada siapa berani bersuara?” tulis pentadbir laman Facebook berkenaan yang mewakili keluhan komuniti setempat.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Siap naik papan tanda bahasa Bengali, mana perginya penguatkuasaan?', premis kedai di Seremban dimonopoli warga asing

BACA LAGI: [VIDEO] 'Dulu Kota Raya, kini TBS pula', warga asing buat hal jadikan terminal Bandar Tasik Selatan 'rumah kedua'

Antara aduan yang diketengahkan termasuklah kenderaan seperti motosikal diubah suai menjadi tiga roda, beroperasi tanpa nombor pendaftaran dan lesen sah, malah membawa anak kecil dan barangan dalam jumlah besar di jalan raya.

“Kalau esok berlaku kemalangan? Kalau langgar orang sampai mati? Siapa nak bertanggungjawab?” katanya.

 

 

Menurut perkongsian itu lagi, golongan itu juga dilihat membuang sampah merata-rata setiap hari sehingga menyebabkan longkang tersumbat, pencemaran bau dan kehadiran lalat, sekali gus mengancam kesihatan awam.

Lebih para lagi, ibu bapa warga asing itu juga turut membiarkan anak-anak mereka bermain di tengah jalan raya tanpa pengawasan.

Lebih membimbangkan, penduduk mendakwa ada insiden di mana individu tempatan diugut untuk membayar pampasan apabila berlaku kemalangan yang berpunca daripada kecuaian warga asing.

"Anak-anak kecil dibiarkan berkeliaran, main tengah jalan. Bila kena langgar, terus ugut orang minta ganti rugi. Ibu bapa tak tahu jaga, tapi tahu salahkan orang lain?" katanya.

Tegas pentadbir laman Facebook itu lagi, keadaan semasa bukan sekadar isu sosial semata-mata, sebaliknya melibatkan soal keselamatan, maruah dan hak sebagai rakyat Malaysia.

"Soalan paling besar kami nak tanya, jabatan mana yang kami kena pergi? Polis? Majlis Perbandaran? Imigresen? Jabatan Kebajikan Masyarakat? Siapa yang benar-benar akan bertindak?

"Atau kami rakyat biasa hanya boleh tengok, bersabar, dan terus hidup dalam ketakutan dan kemarahan?

"Ini bukan isu kecil. Ini soal keselamatan. Soal maruah. Soal hak sebagai rakyat Malaysia.

“Kami tidak mahu anak-anak membesar di kawasan yang kotor, bahaya dan tidak terkawal. Cukup sudah. Kami bukan penumpang di tanah sendiri,” katanya tegas.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet meluahkan rasa marah, kecewa dan kecewa dengan pihak berkuasa yang dilihat gagal menangani isu lambakan warga asing yang semakin tidak terkawal di Klang.

Seorang warga maya, Rosli Isa menyifatkan tindakan sesetengah warga asing yang melanggar undang-undang secara terbuka sebagai satu bentuk ‘penjajahan baharu’ yang mencabar kedaulatan undang-undang negara.

“Kita dah bagi peluang cari rezeki, tapi bila makin biadab dan tak hormat undang-undang, itu dah melampau. Mana pegawai penguat kuasa?” soalnya.

Sebilangan besar menggesa agar pihak polis, imigresen dan pihak berkuasa tempatan segera bertindak sebelum keadaan menjadi lebih parah dan menimbulkan ketegangan antara kaum dan warga.

“Tolong jangan tunggu sampai rakyat bertindak sendiri. Itu dah jadi vigilante namanya. Kerajaan mesti serius!” tegas Syafiq Ismail. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram