Pasukan forensik temui kesan darah di bilik, tandas rumah Zayn Rayyan


Mohd Hafizee berkata, beliau bersama pasukan forensik berada di Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai, dan proses luminol dilakukan di rumah arwah Zayn Rayyan pada pukul 9.30 malam.

PASUKAN forensik terbabit dalam siasatan kematian tragis kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matin menemui darah pada salah sebuah bilik dan tandas kediaman keluarga kanak-kanak malang itu ketika melaksanakan proses mendapatkan tindak balas kesan darah (luminol) pada 9 Disember 2023.

Menurut laporan, pegawai penyiasat kanan, Asisten Superintendan Mohd Hafizee Ismail, 38, berkata, beliau bersama pasukan forensik berada di Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai, dan proses luminol dilakukan di rumah arwah Zayn Rayyan pada pukul 9.30 malam.

Sebelum ini, saksi ke-28 pendakwaan itu bertugas sebagai pegawai penyiasat kanan jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

BACA LAGI: [VIDEO] Polis rakam keterangan Ismanira susulan video tular pimpin tangan Zayn Rayyan di media sosial

BACA LAGI: Saksi menangis cerita detik jumpa jasad Zayn Rayyan seperti tidur mengiring

Mohd Hafizee memberitahu perkara berkenaan ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, pada hari ke-17 perbicaraan kes pengabaian dihadapi ibu bapa arwah, Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan Ismanira Abdul Manaf, 30, di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Bagaimanapun, saksi berkenaan tidak mengesahkan kepada mahkamah mengenai pemilik darah dikesan di salah sebuah bilik rumah itu.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di sebuah aliran sungai berhampiran Apartment Idaman, Damansara Damai.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di sebuah aliran sungai berhampiran Apartment Idaman, Damansara Damai.

Mohd Hafizee berkata, siasatan pihaknya menemui kesan darah di dalam bilik kanak-kanak lelaki itu serta bukti darah atau asid deoksiribonukleik (DNA) di dalam bilik air.

“Saya merakam keterangan Ismanira dan dia memberitahu arwah sebelum ini mengalami pendarahan hidung dan sering melumuri darah atau lendir di dinding bilik atau bahagian lain rumah.

"Dia juga menyebut arwah pernah mengalami pendarahan selepas terkena pisau cukur di bilik air. 

"Bagaimanapun, menurut laporan kimia, darah ditemui di dalam bilik air itu adalah milik Zaim Ikhwan," kata pegawai itu yang kini berkhidmat sebagai pegawai risikan operasi di ibu pejabat polis Klang Selatan.

Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pengabaian terhadap anak mereka, di Mahkamah Sesyen di sini.

Zaim Ikhwan dan Ismanira masing-masing berumur 30 tahun, didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai, hingga kawasan sungai berdekatan apartmen itu antara jam 12 tengah hari 5 Disember hingga jam 9.55 malam 6 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mayat Zayn Rayyan ditemui tidak bernyawa di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman pada 6 Disember 2023, selepas dilaporkan hilang sehari sebelum itu. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram