
“KAMI hanya mahu keadilan buat kematian Naura.” Itu luahan penuh emosi ibu kepada arwah Nur Naura Nathifa yang maut selepas motosikal ditunggang bersama ibu bapanya dirempuh sebuah kereta BMW dalam kemalangan di Lebuhraya Bukit Jalil, Kuala Lumpur pertengahan November lalu.
Hidayatul Izzah Ghazali berkata, dia amat berharap rayuan difailkan tertuduh,P Kuhan Raj di Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur pada Rabu, ditolak mahkamah kerana keputusan sebelum ini sudah cukup untuk menggambarkan apa yang berlaku.
"Rayuan yang difailkan pihak dia pada saya, seolah-olah mahu tukar keputusan yang dah dibuat. Saya harap sangat rayuan tu tak diluluskan.
BACA LAGI : [VIDEO] Kami reda kehilangan Naura, arwah adalah satu-satunya anak tunggal kakak saya — Ayah saudara
"Kalau lulus, saya tak tahu nak cakap apa,” katanya kepada Majoriti.
Untuk rekod, tertuduh yang berusia 31 tahun didakwa memandu kereta BMW dengan laju sehingga menyebabkan kematian pada Nur Naura yang berusia tujuh tahun pada 15 November lalu.
(Dari kiri) Hanya tinggal kenangan, Hidayatul dan suami, El-Khuwailid bersama satu-satunya anak mereka Naura.
Menurut Hidayatul lagi, dia terkejut apabila dimaklumkan tentang rayuan itu oleh pegawai penyiasat kerana ketika itu dia tidak hadir ke mahkamah atas faktor kesihatan.
“Saya masih dalam rawatan susulan dan dinasihatkan untuk tidak hadir ke mahkamah. Emosi saya masih belum stabil.
"Apa-apa perkembangan saya akan rujuk terus dengan pegawai penyiasat,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Hidayatul turut meluahkan rasa terkilan kerana sehingga kini, tiada sebarang permohonan maaf diterima daripada pihak tertuduh mahupun ahli keluarganya.
“Dia tak pernah hubungi kami. Keluarga dia pun langsung tak datang minta maaf,” katanya dalam nada sebak.
Katanya lagi, bukan sahaja emosi masih belum stabil, malah dia juga turut terlibat dalam kemalangan selepas insiden yang meragut nyawa anak tunggalnya itu.
“Saya masih belum pulih sepenuhnya. Suami, Mohd El-Khuwailid Rahim pun begitu. Kami sama-sama ambil cuti panjang selepas kejadian.
"Saya hanya kembali bekerja pada Februari lalu, tapi keadaan dah tak sama,” katanya yang bekerja sebagai kakitangan sebuah hospital.
Ditanya apa yang ingin disampaikan kepada pelaku jika diberi peluang, Hidayatul berkata, dia hanya mahu tertuduh bertanggungjawab atas apa yang berlaku.
"Saya harap dia mengaku salah. Sebab dalam rakaman yang saya tengok, memang jelas dia yang langgar. Tapi bila dia tak mengaku dan mohon dibicarakan semula, saya rasa sangat kecewa dan marah,” katanya.
P Kuhan Raj mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala lumpur pada 19 November lalu atas pertuduhan memandu kereta dengan laju sehingga menyebabkan kematian Naura.
Dalam nada sayu, Hidayatul turut berkongsi kerinduan terhadap arwah anaknya yang kini hanya tinggal kenangan.
“Saya rindu rutin harian kami. Siapkan dia ke sekolah, ambil dari taska, hujung minggu ke pusat beli-belah. Sekarang semua itu dah tak ada.
"Rutin kami sekarang cuma pergi kubur… kubur… dan kubur,” katanya.
Untuk rekod, P Kuhan Raj mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala lumpur pada 19 November lalu atas pertuduhan memandu kereta dengan laju sehingga menyebabkan kematian Naura.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 dan penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.
Pendengaran rayuan kes berkenaan dijadualkan berlangsung di Mahkamah Kuala Lumpur pada Rabu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram