
JERSI bernombor 9 sering dianggap sebagai simbol agung kepada seorang penyerang utama dan lambang harapan dan ketajaman di hadapan gawang.
Dalam konteks Liga Malaysia, angka keramat itu terus memberi makna besar kepada peminat, apatah lagi apabila disarung pemain yang diharapkan menjadi ‘goal machine’ pasukan.
Namun, realitinya tidak semua mampu menggalas tanggungjawab besar itu dengan cemerlang.
BACA LAGI: Bukan hanya JDT, kelab Lembah Klang-Borneo juga 'bolot' pemain kebangsaan
BACA LAGI: Piala Dunia bukan tiket jaminan, 3 ex import termasuk bintang EPL Sabah FC 'karam' di Liga Super
Meskipun bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva, membuktikan keampuhan selaku pemegang nombor 9 dengan rekod jaringan konsisten musim demi musim, terdapat beberapa penyerang import lain yang masih gagal menepati jangkaan tinggi penyokong.
Sehubungan itu, Majoriti menyenaraikan tiga penyerang Liga Super yang seolah-olah 'gagal' memikul aura jersi nombor 9 dalam saingan liga domestik:
1. Ronnie Fernandez
Ronnie gagal memenuhi ekspektasi tinggi kelab serta penyokong Selangor FC sebagai tonggak utama jentera serangan. — Facebook Selangor FC
Penyerang Selangor FC, Ronnie Fernandez, yang hadir dengan reputasi sebagai pemain kebangsaan Chile, gagal memberi impak sepenuhnya bersama skuad Red Giants.
Meskipun berjaya meledak 12 gol daripada 33 penampilan dalam semua kejohanan musim lalu, termasuk 10 gol dalam saingan Liga Super, aksi Ronnie dilihat tidak konsisten dan kerap kali tumpul di hadapan gawang.
Pemain itu juga hanya menyumbang tiga bantuan jaringan ketika bersama Red Giants, selain dilihat bergelut menyesuaikan diri dengan corak permainan pantas dalam Liga Malaysia.
Kontrak Ronnie akhirnya ditamatkan kerana kurang menyerlah dan gagal memenuhi ekspektasi tinggi kelab serta penyokong Selangor FC sebagai tonggak utama jentera serangan.
2. Valdumar Augusto
Valdumar Augusto gagal menyerlah bersama skuad Kijang Emas. — Facebook KDN FC.
Sementara itu, nasib lebih malang menimpa Valdumar Augusto yang menyarung jersi nombor 9 bersama Kelantan Darul Naim (KDN) FC.
Pemain kelahiran Brazil itu bukan sahaja gagal mencipta sebarang jaringan, malah tidak sempat menghabiskan musim penuh selepas kontraknya ditamatkan sekitar Ogos tahun lalu.
Dalam sembilan penampilan bersama pasukan bimbingan Nazrulerwan Makmor, Valdumar tidak mencatatkan satu pun gol atau bantuan jaringan, sekali gus mengundang kritikan penyokong terhadap ketumpulan jentera serangan KDN FC yang terus bergelut di dasar liga.
Lebih malang lagi, ketika aksi menentang Sabah FC, penyerang itu gagal menyempurnakan sepakan penalti untuk mendapatkan gol pertama bersama KDN FC dengan ketumpulan tersebut berterusan sehingga kontraknya di Pantai Timur tamat.
3. Ismaheel Akinade
Ismaheel Akinade hanya mampu menjaringkan lapan gol daripada 34 penampilan dalam semua kejohanan. — Facebook Terengganu FC
Seorang lagi penyerang import yang gagal menunjukkan bisa ialah Ismaheel Akinade yang beraksi bersama Terengganu FC (TFC) pada musim lalu.
Bekas pemain Kelantan FC itu hanya mampu menjaringkan lapan gol daripada 34 penampilan dalam semua kejohanan.
Lima gol hadir dalam saingan Liga Super, dua dalam Piala FA dan satu lagi menerusi kempen Piala Malaysia.
Tiada sebarang jaringan pula dicatat dalam empat penampilan bagi edisi sulung Piala Shopee yang sepatutnya menjadi medan baginya menyerlah.
Walaupun memiliki kelebihan fizikal dan kekuatan di udara, Akinade dilihat masih bergelut untuk menjadi watak utama di barisan serangan Sang Penyu pada musim lalu.
Secara keseluruhan, ketiga-tiga pemain ini gagal menyerlahkan ‘tuah’ jersi nombor 9 yang lazimnya digalas oleh penyerang berprofil tinggi dan digeruni lawan.
Realitinya, bukan semua mampu menjadi Bergson, seorang penyerang yang bukan sahaja prolifik, tetapi turut menjadi simbol ketajaman dan konsistensi musim demi musim. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram