
PESAKIT dan petugas kesihatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dekat Klang, Selangor berdepan detik cemas apabila salah sebuah blok hospital itu terbakar dalam kejadian yang berlaku pada Selasa.
Menurut maklumat awal yang tular di media sosial, kebakaran tersebut dilaporkan berlaku di kawasan wad kecemasan hospital berkenaan, menyebabkan penghuni bangunan itu bertindak pantas menyelamatkan diri.
Beberapa video turut dikongsikan oleh orang awam yang berada di lokasi, memaparkan suasana kelam-kabut apabila pesakit, kakitangan hospital dan orang ramai dilihat keluar meninggalkan bangunan bagi mengelakkan kejadian lebih buruk.
BACA LAGI: Ditahan selama 13 hari di 'safe house', ibu Zayyan dakwa disoal siasat dari 9 pagi hingga 5 petang
BACA LAGI: Jejas tugas anggota penyelamat, pempengaruh Ija dan adik boleh dijel 2 tahun — Peguam
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.13 petang.
Menurutnya, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Andalas bersama sebuah jentera FRT dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Jentera tiba seminit kemudian pada jam 5.14 petang dan mendapati kebakaran telah dipadamkan oleh pihak hospital sebelum ketibaan bomba,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kebakaran berpunca daripada suis soket di dalam wad Zon Merah dan hanya menyebabkan kemusnahan sebanyak satu peratus.
Bagaimanapun, katanya, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan.
Tambahnya, operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II, Yuszi Abdullah, itu berjaya dikawal dan dipastikan selamat sepenuhnya sebelum anggota beredar dari lokasi.
“Punca sebenar kejadian ini masih dalam siasatan lanjut,” tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram