
HASRAT skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) kendalian Nafuzi Zain untuk mengesahkan tiket ke separuh akhir tidak kesampaian apabila hanya mencatat keputusan seri 0-0 menentang Indonesia dalam aksi Kumpulan Piala Mandiri ASEAN B-23 pada Isnin.
Beraksi di hadapan ribuan penyokong fanatik Garuda di Stadium Bung Karno, skuad muda negara gagal memanfaatkan beberapa peluang terhidang bagi mencipta kemenangan penting yang bakal mencerahkan laluan ke peringkat seterusnya.
Bagaimanapun, aksi sengit itu dicemari insiden memalukan apabila sekumpulan penyokong Indonesia dikesan mengibarkan Jalur Gemilang yang dipangkah, sekali gus mencetuskan kemarahan dalam kalangan penyokong tanah air.
BACA LAGI : Tak seperti Bergson si mesin pencetak gol, 3 striker bagaikan terkena 'badi' no.9
BACA LAGI : Bukan hanya JDT, kelab Lembah Klang-Borneo juga 'bolot' pemain kebangsaan
Aksi perlawanan skuad Malaysia B-23 menentang Indonesia dalam aksi Kumpulan Piala Mandiri ASEAN B-23 pada Isnin. — Facebook Malysian NT
Menurut perkongsian dalam Group Buletin Arena Sabah, tindakan itu bukan sahaja mencemarkan semangat kesukanan malah secara jelas melanggar Artikel 16(2)(d) Kod Tatatertib FIFA.
Jelas individu itu lagi, persatuan akan dipertanggungjawabkan atas penggunaan bendera atau simbol yang bersifat provokatif atau menghina, yang dilakukan oleh penyokong mereka.
Susulan insiden itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) disaran mengambil tindakan segera termasuk mengumpul bukti bergambar, video serta kenyataan saksi untuk dihantar secara rasmi kepada FIFA atau Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bergantung kepada status kejohanan yang dianjurkan.
Langkah susulan itu penting bagi menuntut siasatan serta tindakan disiplin terhadap Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), yang didakwa gagal mengawal tingkah laku penyokong tuan rumah.
Antara hukuman yang berpotensi dikenakan terhadap PSSI termasuk denda kewangan, larangan membawa penyokong ke stadium, perlawanan secara tertutup (tanpa penonton), kehilangan hak sebagai tuan rumah serta teguran rasmi daripada badan induk bola sepak dunia.
Permusuhan antara kedua-dua negara gergasi bola sepak Asia Tenggara itu sememangnya diketahui kerana beberapa siri kekecohan pernah disaksikan.
Tindakan tegas juga pernah dikenakan apabila kegagalan mengawal penyokong boleh mengakibatkan kecederaan terhadap individu tidak bersalah selain mencemarkan hubungan negara.
Untuk rekod, skuad negara menamatkan saingan pusingan awal di tempat ketiga dengan mata hasil satu kemenangan menentang pasukan di tangga tercorot, Brunei. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram