Pemandu BMW sebabkan kematian Naura mengaku tak bersalah, mohon kadar jaminan minimum sebab isteri suri rumah, tanggung ibu bapa uzur


Naura (gambar kecil) menemui ajal selepas dilanggar kenderaan Jalan Puchong menghala ke Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Jumaat.

PEMANDU kereta mewah jenis BMW didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Selasa kerana menyebabkan kematian seorang kanak-kanak perempuan, Nur Naura Nathifa Mohd El-Khuwailid, 7, Jumaat lalu.

Tertuduh, P Kuhan Raj, 31, didakwa memandu kereta dalam keadaan bahaya dan laju sehingga merempuh motosikal yang dinaiki Naura bersama ibu bapanya di Lebuhraya Bukit Jalil ke Puchong, Selangor sekitar pukul 9.50 malam Jumaat lepas.

Memetik laporan Harian Metro, P Kuhan bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Haneefa Ariffin.

BACA LAGI: [VIDEO] Kami reda kehilangan Naura, arwah adalah satu-satunya anak tunggal kakak saya — Ayah saudara

BACA LAGI: ‘Mummy, saya sangat sakit’, kata-kata terakhir mangsa dihempap kontena di Bukit Mertajam kekal menghantui ibu sampai bila-bila

Dalam prosiding itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 dan penjara minimum antara lima tahun hingga 10 tahun jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya, Salsabila Mohammad menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Inderpal Singh yang mewakili tertuduh memohon kadar jaminan yang minimum memandangkan anak guamnya adalah penanggung tunggal keluarganya.

Menurutnya, tertuduh menanggung isteri yang juga suri rumah, dua anaknya masing-masing berusia dua dan empat tahun, serta ibu bapanya yang uzur.

Mendengar hujah kedua-dua pihak, Haneefa kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM12,000 selain mengarahkan supaya lesen memandu tertuduh digantung serta-merta sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudian menetapkan 21 Januari tahun hadapan bagi sebutan semula kes.

Terdahulu, bapa saudara Naura menuntut hukuman setimpal terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam insiden yang meragut nyawa anak buahnya.

Muhammad Syawal Naim Ghazali berkata, walaupun keluarganya reda dengan ketentuan takdir, tetapi mereka tetap berharap keadilan dapat ditegakkan.

Katanya, arwah juga merupakan satu-satunya anak tunggal kakaknya, Hidayatul Izzah Ghazali dan suaminya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram