AYAH saudara kepada kanak-kanak perempuan yang maut dilanggar kenderaan Jalan Puchong menghala ke Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Jumaat lalu menuntut hukuman setimpal terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam insiden yang meragut nyawa anak buahnya.
Muhammad Syawal Naim Ghazali berkata, walaupun keluarganya reda dengan ketentuan takdir, tetapi mereka tetap berharap keadilan dapat ditegakkan.
"Nur Naura Nathifa Muhd El-Khuwailid, 7 tahun maut selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kenderaan.
BACA LAGI: Pemandu lori kontena terbalik hempap kereta di P. Pinang tiada rasa bersalah, tak dibenar ikat jamin
"Saya dan keluarga mahukan keadilan yang sewajarnya untuk Naura.
"Apatah lagi, arwah adalah satu-satunya anak tunggal kakak saya, Hidayatul Izzah Ghazali dan suaminya, Mohd El-Khuwailid Rahim," katanya kepada Majoriti.
Menurut Muhammad Syawal lagi, laporan polis sudah dibuat berhubung kejadian itu.
"Satu laporan polis sudah dibuat dan kes masih dalam siasatan.
"Pada waktu kejadian, Naura sempat dihantar ke Hospital Columbia namun disahkan meninggal dunia ekoran daripada kecederaan parah.
"Ibu bapa arwah mengalami kecederaan ringan, namun masih trauma dengan kejadian itu," ujarnya dengan nada sayu.
Terdahulu, tular satu video memaparkan tiga beranak menunggang sebuah motosikal dirempuh sebuah kenderaan.
Kejadian itu berjaya dirakam kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan awam yang berada di tempat kejadian.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa mengesahkan kejadian terbabit.
Katanya, kemalangan maut tersebut berlaku pada kira-kra pukul 9.50 malam Rabu di Lebuhraya Bukit Jalil yang melibatkan sebuah kereta melanggar sebuah motosikal.
"Dalam kejadian tersebut penunggang motosikal dan pembonceng bersama anak telah terjatuh di atas jalan.
"Ketiga – tiga mangsa telah dihantar ke hospital oleh orang awam dan anak mangsa berumur tujuh tahun telah meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan.
"Pemandu kenderaan tersebut seorang lelaki berumur 31 tahun hadir ke Balai JSPT Kuala Lumpur pada Isnin dan ditahan polis untuk siasatan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin
Kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) APJ 1987.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram