Hasrat ibu mendirikan rumah tangga terkubur, anak rugi lebih RM140,000 ditipu bakal suami


  • 112
  • Sabtu, 29 Mac 2025

Wanita tersebut meminta anaknya memindahkan sejumlah wang kepada kekasihnya yang berjanji untuk mengahwininya. — Gambar hiasan

SEORANG pengarah syarikat berusia 34 tahun mengalami kerugian lebih RM140,000 selepas cuba membiayai perkahwinan ibunya dengan seorang lelaki warga asing yang dikenali melalui aplikasi pesanan sosial.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, kejadian berlaku apabila wanita berusia 66 tahun itu berkenalan dengan seorang lelaki yang dipercayai berasal dari China melalui aplikasi WhatsApp.

“Pada Khamis (27 Mac), wanita tersebut meminta anaknya memindahkan sejumlah wang kepada kekasihnya, yang berjanji akan datang ke Malaysia untuk mengahwininya.

BACA LAGI: Rugi RM12,000, 2 sahabat diperdaya 'teman wanita jadian' yang sama

BACA LAGI: Kakitangan IPT rugi RM500,000 diperdaya sindiket 'love scam' di Terengganu

"Anaknya kemudian membuat satu transaksi berjumlah RM147,213 ke dalam akaun bank tempatan pada hari sama, dengan jaminan bahawa lelaki berkenaan akan membayar balik wang tersebut selepas tiba di Malaysia untuk berkahwin dengan ibunya," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Bagaimanapun selepas menerima wang tersebut, lelaki berkenaan tidak lagi dapat dihubungi oleh wanita itu.

Menyedari dirinya telah ditipu, wanita tersebut membuat laporan polis pada Jumaat.

“Dengan pelbagai taktik penipuan yang digunakan pada masa kini, kami menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati, terutamanya ketika menggunakan media sosial untuk mencari cinta atau pasangan hidup,” ujar beliau.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang boleh membawa hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun serta sebatan jika disabit kesalahan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram