
SEORANG wanita berasal dari Vietnam yang koma selama 70 hari akibat kecederaan otak teruk ketika hamil 26 minggu berjaya melahirkan seorang bayi lelaki.
Keajaiban berlaku apabila bayi itu dilahirkan dalam keadaan selamat dan sihat sebaik ibu muda berkenaan sedarkan diri.
Perkara pertama yang diminta adalah untuk menyusukan bayi lelakinya.
Walaupun terlantar di katil hospital selama lebih dua bulan dengan tubuh yang lemah, beliau masih mampu menghasilkan susu untuk bayinya.
Ibu mentua pesakit, Nguyen Thi Thao tidak dapat menahan rasa sebak apabila menyaksikan situasi itu.
"Melihat cucu dilahirkan dengan sihat dan ibunya juga selamat membuatkan saya menangis. Rasanya seperti menantu saya telah kembali dari ambang maut," katanya.
Wanita itu mengalami kecederaan otak yang serius akibat satu kemalangan ketika kandungannya berusia enam bulan.
Selepas menjalani pembedahan otak di Hospital Viet Duc, beliau dipindahkan ke Hospital Am Duc Giang untuk rawatan susulan pada 8 Januari.
Meskipun tidak sedarkan diri, doktor bercakap dengannya setiap hari tentang kehidupan anak dalam kandungannya.
Menurut Ketua Jabatan Anestesia dan Rawatan Rapi di Hospital Am Duc Giang, Dr. Le Nguyen An, usaha itu bertujuan merangsang tindak balas otak wanita berkenaan selain menggalakkan pemulihan.
Ujarnya, merawat pesakit koma dengan kecederaan otak sudah cukup rumit, tetapi cabaran tambahan untuk memastikan bayi dalam kandungan selamat menjadikan kes itu lebih mencabar.
"Ubat-ubatan perlu diberikan dengan berhati-hati bagi mengelakkan kesan buruk terhadap bayi yang belum lahir dan doktor perlu bersedia menghadapi kemungkinan terburuk," jelasnya.
Selepas 70 hari menjalani rawatan, keadaan ibu tersebut mulai stabil. Tanda-tanda vitalnya menunjukkan peningkatan, beliau mampu bernafas sendiri melalui trakeostomi dan bayinya terus berkembang dengan baik.
Pada malam 15 Mac, beliau menunjukkan tanda-tanda mahu bersalin ketika kandungannya berusia 36 minggu.
Bagaimanapun bayi berada dalam kedudukan songsang, menyebabkan doktor memutuskan untuk menjalankan pembedahan caesarean kecemasan.
Pembedahan itu berjaya dan seorang bayi lelaki seberat 2 kilogram (kg) dilahirkan, sekali gus membawa kegembiraan besar kepada pasukan perubatan dan keluarganya.
Dr. Le Nguyen berkata, keadaan ibu itu telah menunjukkan peningkatan ketara dalam minggu terakhir.
Malah pada beberapa ketika, beliau dilihat menitiskan air mata, seolah-olah terharu dengan kehadiran anaknya.
Keadaan ibu dan bayi kini dipantau dengan rapi, dengan harapan mereka berdua dapat pulih sepenuhnya dan menjalani kehidupan yang sihat bersama keluarga. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram