PM wanita paling muda Thailand seru rakyat bertenang kemungkinan gegaran susulan gempa bumi kuat di Myanmar


  • Benua
  • Sabtu, 29 Mac 2025

Paetongtarn berbincang dengan pegawai bertugas di lokasi bangunan tinggi yang runtuh di daerah Chatuchak, Bangkok, pada petang Jumaat. — Agensi

PERDANA Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, menyeru orang ramai agar bertenang selepas pihak berkuasa mengeluarkan amaran kemungkinan berlaku gegaran susulan ekoran gempa bumi kuat yang berpusat di Myanmar pada Jumaat.

Dalam sidang media selepas mesyuarat tergempar di Phuket, Paetongtarn yang ketika itu menghadiri persidangan pelancongan menasihati orang ramai agar hanya mendapatkan maklumat daripada agensi berkaitan bagi mengelakkan penyebaran maklumat palsu yang boleh mencetuskan panik.

Beliau turut mengumumkan Perkhidmatan Penyiaran Kebangsaan Thailand (NBT) ditetapkan sebagai saluran rasmi untuk sebarang kemas kini yang disahkan pihak berkuasa.

BACA LAGI: Ada penduduk Pulau Pinang berasa pening akibat kesan gempa bumi kuat di Myanmar

BACA LAGI: Bergegar saat menjamu selera, ex import Liga M berdepan detik ngeri gempa bumi di Thailand

Dalam pada itu, perdana menteri paling muda tersebut dijadualkan pulang ke Bangkok pada Jumaat bagi memantau serta menyelia tindak balas kerajaan terhadap bencana itu.

Sehingga kini, kerajaan masih dalam proses menilai tahap kerosakan akibat gempa yang menggegarkan banyak bangunan di wilayah utara, timur laut dan tengah negara.

Workers walk past at the site of a high-rise building under construction that collapsed after a strong earthquake in Bangkok, Thailand, Saturday, March 29, 2025. (AP Photo/Sakchai Lalit)Puluhan pekerja dipercayai masih terperangkap dalam runtuhan struktur setinggi 30 tingkat tersebut. — Agensi 

Antara kejadian paling serius yang dilaporkan ialah runtuhnya bangunan dalam pembinaan milik Pejabat Audit Negara. 

Puluhan pekerja dipercayai masih terperangkap dalam runtuhan struktur setinggi 30 tingkat tersebut.

Selain itu, laporan turut menyebut tentang kerosakan pada beberapa bangunan dan rumah di lapan wilayah, terutamanya di kawasan utara Thailand.

Gempa berukuran 7.7 magnitud

Gempa bumi berukuran 7.7 magnitud melanda Mandalay, Myanmar pada pukul 1.20 tengah hari, sebelum diikuti sekurang-kurangnya enam gegaran susulan dalam tempoh dua jam berikutnya.

Salah satu gegaran kecil berukuran 3.3 magnitud berlaku di daerah Pai, wilayah Mae Hong Son, pada pukul 2.49 petang.

Menurut Jabatan Meteorologi Thailand, pusat gempa di Myanmar terletak kira-kira 326 kilometer ke barat laut daerah Pang Ma Pha di wilayah Mae Hong Son dan sekitar 1,100 kilometer dari Bangkok.

Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada terhadap gegaran susulan. Ketua Pengarah Jabatan Sumber Mineral, Pichit Sombatmak berkata, walaupun gegaran susulan mungkin tidak terlalu kuat, ia masih berpotensi menyebabkan kerosakan.

Namun begitu, beliau menolak kemungkinan berlakunya tsunami kerana gempa bumi itu berlaku jauh dari kawasan laut.

Di Phuket, Gabenor Sophon Suvannarat mengarahkan pegawai bertanggungjawab untuk memantau situasi dengan lebih dekat bagi mengurangkan kebimbangan penduduk serta pelancong di pulau peranginan itu.

Paetongtarn ialah anak bongsu kepada pengasas parti Pheu Thai.​ — Agensi ​​​​​​

Untuk rekod, Paetongtarn, 38, ialah anak bongsu kepada jutawan Thaksin, 76, yang juga pengasas parti Pheu Thai.

Beliau mendapat pendidikan di institusi konservatif elit, Universiti Chulalongkorn di Bangkok.

Paetongtarn dikenali dengan nama panggilan Ung-Ing. Sebelum terlibat dalam politik empat tahun lalu, beliau membantu menguruskan bahagian perhotelan dalam empayar perniagaan keluarganya.

Kerjaya politiknya bermula pada 2021 apabila dilantik sebagai ketua Jawatankuasa Penasihat Kemasukan dan Inovasi parti Pheu Thai. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram