
JIKA orang ramai berpusu-pusu membeli baju raya sebagai persiapan menyambut Aidilfitri, pempengaruh, Cik Epal memilih untuk menghadiahkan dirinya sesuatu yang lebih istimewa.
Pemilik nama sebenar Murni Mahmud, 34, itu difahamkan membeli sebuah kereta mewah jenis Mercedes Benz G-Class dengan nilai sekitar RM1.79 juta baru-baru ini.
Keputusan itu dibuat sebagai tanda penghargaan buat dirinya sendiri atas segala usaha dan kerja keras yang dilakukan selama ini.
BACA LAGI: 'Mudahnya jadi jutawan', ramai terkejut pempengaruh dedah harga 'review' RM100,000 untuk 4 jam
BACA LAGI: Kes Cik Epal dan Jofliam, peguam syarie perjelas perintah komital
"Alhamdulillah rezeki ALLAH nak bagi dapat beli kereta raya. Lebih baiklah beli kereta reward untuk diri sendiri daripada bagi kereta dekat orang tapi dikhianati dan tidak dihargai," luahnya menerusi satu hantaran di laman Instagram miliknya pada Jumaat.
Mercedes Benz G-Class atau juga dikenali sebagai G-Wagon sememangnya menjadi pilihan kebanyakan individu ternama tidak hanya di luar negara, bahkan golongan elit, selebriti dan peminat automotif di Malaysia.
Dengan gabungan reka bentuk ikonik, prestasi luar biasa dan nilai status yang tinggi, G-Class bukan sekadar kenderaan tetapi juga simbol kejayaan serta gaya hidup eksklusif.
Sejak diperkenalkan pada 1979, G-Class mengekalkan reka bentuk kotak yang unik, menjadikannya berbeza daripada kenderaan utiliti sukan (SUV) lain di pasaran.
Asalnya dibangunkan sebagai kenderaan tentera, model tersebut kemudiannya mengalami transformasi menjadi sebuah SUV premium yang tetap mempertahankan identiti lasak dan eksklusif.
Walaupun pelbagai pembaharuan teknologi diperkenalkan, ciri-ciri klasik seperti lampu bulat, gril besar dan badan segi empat tetap dikekalkan, menambahkan lagi daya tarikan model itu.
Selain reka bentuknya yang unik, G-Class turut menonjol dengan prestasi enjin yang mengagumkan.
Cik Epal memilih untuk menghadiahkan dirinya sebuah kenderaan mewah sebagai ganjaran. — Instagram/cikepal06
Model popular seperti Mercedes-AMG G63 dikuasakan oleh enjin V8 biturbo yang mampu menghasilkan lebih daripada 500 kuasa kuda, membolehkan SUV tersebut menyaingi kereta sukan dalam aspek kelajuan dan kuasa pemanduan.
Harga Mercedes-Benz G-Class di Malaysia bergantung kepada varian dan spesifikasi.
Namun secara keseluruhan, harga SUV mewah Mercedes-Benz G-Class di Malaysia bermula dari sekitar RM916,000 hingga hampir RM2 juta, bergantung pada model dan spesifikasinya.
Dengan keunikan dan kehebatan G-Class, tidak hairanlah selebriti lokal dan antarabangsa, ahli perniagaan berjaya dan pempengaruh terkenal sering memilih G-Class sebagai kenderaan utama mereka.
Bahagian dalaman yang dilengkapi dengan material mewah seperti kulit nappa, Sistem Infotainment Dalam Kenderaan (IVI) dan pencahayaan ambien turut menjadikannya antara SUV paling eksklusif di pasaran.
Meski harganya mencecah jutaan ringgit, peminat automotif tetap melihatnya sebagai lambang kejayaan dan simbol kemewahan yang tiada tandingan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram