
IMPIANNYA adalah untuk membawa seni batik mewarnai era moden dengan rekaan aksesori yang segar dan penuh ekspresi.
Mengasaskan MaryamBayam sejak 2018, inovasi terkini pereka seni kelahiran Nilai, Negeri Sembilan itu berhasil memenuhi cita rasa golongan muda masa kini.
Kenapa batik? Bagi Ariffa Maryam Yeop Abdul Mutalib, produk berkonsepkan batik berupaya mencakupi ruang pasaran yang begitu luas.
BACA LAGI: [VIDEO] Awasi kelakuan anak kecil ketika hadir majlis, elak ayat klise 'biasalah budak-budak'
Sejak kecil beliau mengimpikan untuk menjadi seorang pereka fesyen.
Ujarnya, batik merupakan warisan budaya Malaysia yang tidak lagi hanya sesuai digunakan di rumah sebagai pakaian tradisional.
Nekad merealisasikan inisiatif itu, Ariffa Maryam mengorak langkah melancarkan jenamanya sendiri usai menamatkan pengajian Diploma Lanjutan Pastri dan Gastronomi di Taylors University.
"Saya rasa rugi kalau batik hanya dipakai sebagai kain sarung di rumah. Kenapa tak cuba angkat seni rekaan batik jadi sesuatu yang lebih moden dan menarik untuk dipakai di luar.
"Ketika itu pasaran Malaysia kekurangan inovasi produk aksesori batik kerana selama ini kebiasaannya ia dijual dalam kuantiti yang banyak di butik-butik terkenal.
"Saya rasa produk buatan tangan seperti ini masih jarang dilihat," ujarnya kepada Majoriti.
Membesar di kampung, Ariffa Maryam dididik untuk untuk menghargai dan menghidupkan nilai-nilai tradisi dalam dirinya.
Justeru wanita itu bertekad mengangkat batik, yang sudah berakar umbi dalam tradisi Malaysia, dengan rekaan-rekaan moden dan menarik seterusnya menjadikan ia relevan dengan gaya hidup masa kini.
Batik Terengganu menjadi pilihan utama Ariffa Maryam dek keunikan dalam kombinasi warna dan corak.
Meski berlatarbelakangkan akademik kulinari, Ariffa Maryam sudah mula belajar menjahit sejak usianya mencecah 12 tahun, selain turut dihantar ke kelas jahitan.
Ceritanya, sejak kecil beliau mengimpikan untuk menjadi pereka fesyen, namun laluan lain terbuka di hadapannya.
Membesar dalam keluarga yang berkecimpung dalam industri makanan dan minuman (F&B), ibu bapanya berhasrat untuk anak bongsu daripada lima beradik itu fokus membantu perniagaan keluarga di Nilai, iaitu Restauran Aunty Aini’s.
“Saya kemudian teruskan membantu mereka di restauran dan mempelajari cara membuat kuih tradisional Melayu untuk restoran.
“Saya juga membantu menguruskan tanaman di kebun Aunty Aini’s,” ujarnya yang gemar memakai headband sejak kecil.
Ariffa Maryam membantu menguruskan restauran dan tanaman di kebun Aunty Aini’s.
Guru Youtube
Biarpun masanya banyak dihabiskan di restoran, minat terhadap fesyen tidak pernah pudar. Ketika itu jugalah beliau mula bereksperimen dengan fabrik dan fesyen.
Bermula dengan headband batik sebagai aksesori pertama yang dicipta, MaryamBayam kini menawarkan pelbagai produk seperti scrunchie, pelitup muka dan pakaian siap.
“Saya banyak belajar daripada guru-guru di YouTube dan saya sangat bersyukur kepada mereka yang mencipta kandungan seperti itu.
“Selepas mempelajari asas-asas membuat headband dan anting-anting, saya mengubahnya mengikut cita rasa sendiri.
"Bermula dengan aksesori kecil sehinggalah busana tradisional seperti baju kurung Kedah dan pario,” tambahnya.
Beliau ingin menjadikan aksesori batik relevan dengan gaya hidup masa kini.
Batik Terengganu
Mengambil batik dari Terengganu, beliau bercita-cita untuk menghasilkan rekaan batiknya sendiri pada masa hadapan.
Batik Terengganu menjadi pilihan utamanya dek keunikan dalam kombinasi warna dan corak berbanding batik dari negeri lain.
“Gabungan warna, corak dan materialnya berkualiti tinggi dan sangat memukau.
"Ia memberi saya inspirasi untuk menghasilkan produk yang saya nak pakai, yang tidak ada di pasaran,” ujarnya menambah identiti batik Malaysia lebih kepada flora dan motif geometri, tanpa unsur fauna.
Walaupun batik sering dianggap sebagai simbol tradisi yang dikaitkan dengan generasi lebih tua, pereka itu berusaha mengubah pandangan tersebut dengan menggabungkan batik dalam gaya fesyen kontemporari.
“Saya mahu membawa batik ke dalam dunia moden, menjadikannya sesuai untuk setiap peribadi dan tidak hanya sebagai pakaian tradisional,” tegasnya.
Kini, beliau berhasrat untuk menerokai dunia fesyen dan cenderamata dengan sentuhan batik tempatan.Selain itu, Ariffa Maryam memberitahu, pihaknya juga dalam perancangan menghasilkan koleksi fesyen khas buat Restauran Aunty Aini’s, yang mana proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) giat dijalankan.
“Sekarang kami dalam fasa R&D kerana perlu membina platform yang kukuh sebelum melancarkan projek ini.
“Tahun ini juga kami rancang untuk memperkenalkan rangkaian aksesori rumah dan gaya hidup berkonsepkan batik tradisional Malaysia," kata beliau.
Namun akuinya, industri tersebut berdepan cabaran besar terutamanya dari segi kos pengeluaran yang tinggi akibat proses pembuatan memerlukan tenaga kerja mahir serta teknik tradisional yang teliti.
Jelas beliau, batik Malaysia tidak dihasilkan dalam jumlah yang banyak kerana kos pengeluarannya tinggi.
"Bagaimanapun, berbanding batik cetakan mass production yang lebih murah, batik tradisional tetap bernilai kerana keasliannya,” katanya.
Justeru beliau menyuarakan harapan agar lebih ramai pengguna menghargai nilai seni batik tempatan dan memahami keunikan setiap corak serta proses pembuatannya.
"Pengguna yang faham akan memilih batik tradisional, manakala yang kurang memahami akan lebih cenderung kepada batik viral yang dihasilkan secara besar-besaran,” katanya mengakhiri perbualan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram