
MENGENDALIKAN perniagaan restoran makanan bukan sekadar tentang memasak dan menyajikan hidangan yang lazat.
Ia memerlukan kecekalan yang tidak sedikit apatah lagi bagi sesebuah perniagaan mahu bertahan lama dalam industri tersebut.
Itulah dibuktikan perniagaan yang bertahan dan berkembang selama lebih tiga dekad seperti dikecapi Serai Group.
Kisah mereka bermula pada 1990 dengan pembukaan sebuah restoran sederhana di Shah Alam yang menyajikan masakan Utara Malaysia dan Thai.
Kini selepas lebih 30 tahun, perniagaan tersebut berkembang dengan cukup mengagumkan malah turut memiliki 16 jenama restoran menawarkan pelbagai konsep dan masakan untuk memenuhi cita rasa pelanggan berbeza.
Senarai panjang jenama restoran di bawah kumpulan itu ialah Serai, Serai Thai, Jibby & Co., Jibby Chow, Jibby East Grill, Blonde, Jibby by The Park, Chum Chum Pizzeria, lola, Makamakan, Taffy Gelato, Serai Chicken Rice dan Copper Chim.
Kesemua restoran di bawah Serai Group menawarkan hidangan dan pengalaman berbeza dan unik buat pelanggan. — Serai
Tidak cukup dengan itu, Serai Group turut melebarkan sayapnya di luar negara dengan pembukaan restoran Meet Bros Steakhouse di Paddington, London sekitar 2023.
Permulaan
Pengasasnya, Rina Abdullah, memulakan perjalanan keusahawanan ini selepas meninggalkan kerjaya sebagai pramugari di Malaysia Airlines.
Sebelum itu, bersama suaminya yang bekerja sebagai pengurus hotel, mereka sering berpindah dari satu negeri ke negeri lain.
Apabila anak sulung, Qistina Taff, mencapai usia persekolahan, mereka memutuskan untuk menetap di Shah Alam.
Blonde merupakan antara jenama restoran diperkenalkan di bawah Serai Group. — Serai
Idea untuk membuka restoran tercetus apabila Qistina mencadangkan agar mereka memiliki restoran sendiri supaya dapat menikmati hidangan secara percuma.
Dengan minat mendalam terhadap masakan Thai, Rina membuka Serai Thai pada 1990, dan ia tidak mengambil masa lama untuk mendapat sambutan daripada penduduk sekitar Shah Alam.
Resipi kejayaan perniagaan
Di sebalik tanggapan umum mengenai cabaran dalam mengendalikan perniagaan bersama keluarga, perkara itu sebaliknya menjadi kekuatan yang memacu kepada kemajuan diperoleh Serai Group yang kini turut melibatkan tiga generasi.
Pada 2006, anak sulung Rina, Qistina Taff, kembali ke Malaysia selepas menamatkan pengajian dalam bidang Reka Bentuk Dalaman di Australia.
Bersama suaminya, Najib Abdul Hamid, seorang cef berpengalaman yang bekerja di Australia selama 11 tahun, mereka menyertai perniagaan keluarga ini.
Rina (kiri) dan Najib menjadi tulang belakang terhadap pengembangan perniagaan Serai Group. — Serai
Dua individu ini turut menjadi tulang belakang kepada proses pengembangan dilaksanakan kumpulan itu pada 2010.
"Kami mungkin keluarga tetapi apabila ia melibatkan kerja, kami melakukannya secara profesional," kata Najib dalam satu temu bual bersama Top10 of Malaysia.
Sementara itu, setiap daripada mereka turut mempunyai bidang kepakaran tersendiri diperlukan untuk memajukan perniagaan Serai Group.
Ini kerana, perhatian dan perincian bukan sahaja diberikan terhadap juadah disajikan tetapi juga pada suasana dan imej restoran.
Qistina menggunakan kemahirannya dalam mereka bentuk dalaman restoran dengan memberikan setiap cawangan identiti eksklusifnya manakala Atiqah yang juga anak ketiga Rina, bertanggungjawab ke atas pemasaran jenama itu di media sosial.
Rina percaya ia adalah sebahagian takdir untuknya dapat mengembangkan jenama bersama keluarganya.
Kepakaran Qistina yang merupakan graduan reka bentuk dalaman turut digunakan dalam menetapkan konsep rekaan restoran di bawah Serai Group. — Serai
Dalam pada itu, Najib yang juga graduan bidang Pengurusan Hospitaliti dan Seni Kulinari dari Le Cordon Bleu di Adelaide turut memuji ketokohan ditunjukkan ibu mentuanya dalam menguruskan operasi syarikat tersebut.
"Saya tidak tahu bagaimana dia melakukannya," ujar Najib yang menyifatkan Rina sebagai seorang 'superwoman'.
“Kami sangat terbuka, mendengar idea daripada pekerja. Dua idea adalah lebih baik daripada satu,” Najib yang menyatakan kerja berpasukan merupakan sebahagian daripada kunci kejayaan mereka.
Rina turut menitipkan nasihat buat usahawan muda yang mahu berjaya di dalam industri tersebut.
"Anda perlu sabar dan tidak sepatutnya mengharapkan untuk terus mendapat wang apabila anda baru sahaja memasuki perniagaan.
"Pengalaman dan meletakkan asas yang kukuh adalah penting,” ujar Rina dalam satu temu bual. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram