
BAGI peminat filem cereka sains, anda pastinya biasa melihat babak pelakon yang berjalan masuk ke ruang rumah yang mana lampunya terbuka secara automatik.
Selain itu, terdapat juga babak memaparkan hanya dengan isyarat suarа, mereka sudah boleh mengubah suhu bilik tanpa langsung perlu menekan suis.
Kedua-dua babak tersebut sebenarnya sedang memaparkan ciri-ciri rumah pintar yang dilengkapi dengan pelbagai teknologi maju.
BACA LAGI: 120 jam tangan edisi khas M. Nasir laris, Artwist.Co tepis skeptikal kualiti jenama tempatan
Kini, keadaan itu tidak lagi cuma berlaku dalam babak filem cereka sains.
Penggunaan teknologi tersebut dilaporkan sudah semakin menjadi kebiasaan di seluruh dunia.
Kemudahan rumah pintar boleh direka mengikut ketetapan dan objektif tertentu dimahukan pemilik kediaman.
Rumah pintar merujuk kepada rumah yang dilengkapi dengan teknologi untuk membolehkan penghuninya mengawal dan menguruskan pelbagai sistem secara automatik atau dari jauh.
Ini boleh merangkumi perkara seperti sistem keamanan, pencahayaan, penghawa dingin, peralatan elektrik, serta pengurusan tenaga dan air.
Menurut firma penyelidikan pasaran global berpangkalan di Kanada, Precedence Research, saiz pasaran rumah pintar global dianggarkan mencecah $AS 162.27 bilion (RM 759.42 bilion) pada 2025 dan dijangka mencapai kira-kira $AS 1.4 trilion (RM 6.6 trilion) menjelang 2034, dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 27.10 peratus dari 2025 hingga 2034.
Di Malaysia, permintaan terhadap rumah pintar di Malaysia dilaporkan semakin meningkat, didorong oleh faktor seperti kesedaran terhadap teknologi, kemajuan dalam infrastruktur, dan perubahan gaya hidup.
Pengarah Urusan Onvia Sdn. Bhd., Daniel Yu berkata, boleh direka mengikut ketetapan dan objektif tertentu dimahukan pemilik kediaman.
"Kemudian berlaku inovasi pada peranti keselamatan itu iaitu daripada perkakasan menggunakan wayar kepada peranti tanpa wayar.
"Itu kisah lapan tahun lalu. Ia kemudian beralih kepada peranti pintar seperti suis pintar untuk lampu, sebelum ke perkakasan rumah pintar. Semua ini berlaku kerana permintaan," katanya yang memiliki pengalaman 20 tahun dalam bidang keselamatan.
Kos
Pengarah Urusan Onvia Sdn. Bhd., Daniel Yu.
Menerangkan mengenai kos, Daniel Yu menjelaskan, saiz dan skop rumah pintar adalah berbeza, dan semuanya bergantung kepada bajet serta impian pemilik kediaman.
"Lagi besar kediaman maka makin tinggi kos diperlukan. Jika diikutkan kos bagi sistem tidak terlalu mahal sekitar ribuan ringgit.
"Kualiti sesuai perkakasan pintar itu bakal menentukan sama ada ia murah atau sebaliknya.
"Perlu diingat, perkakasan murah tiada jaminan dari segi kualiti dan ketahanan. Ada kemungkinan anda perlu mengeluarkan kos berulang kali yang pada akhirnya kos keseluruhan akan sama seperti produk berkualiti yang sudah dijamin kemampuannya" katanya yang sudah memasang pelbagai peranti pintar pada sekurang-kurangnya 2,000 kediaman.
Tambah Daniel To, perkara yang paling ditakuti sekiranya pengguna membeli barangan tidak berkualiti itu bukan sahaja mudah rosak, bahkan tiada jaminan dari aspek keselamatan hingga mudah digodam
"Berdasarkan Peraturan Perlindungan Data Umum (GDPR) Kesatuan Eropah (EU), setiap peranti perlu memiliki alamat emel untuk pendaftaran.
"Sesiapa yang mengakses perlu mendapat kebenaran menerusi e-mel yang didaftarkan. Kalau tiada perkara asas ini, jangan sesekali guna kerana dikhuatiri ia mudah digodam," jelasnya
Antara peranti digunakan dalam sistem kemudahan rumah pintar.
Mengenai masa depan rumah pintar di Malaysia, beliau mengakui ia semakin berkembang apabila pihak pemaju perumahan mula mendapatkan konsultasi daripada operator sepertinya untuk membangunkan sistem rumah pintar bagi projek baharu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif intlife Smart Home Malaysia, Kok Huang Er berkata, negara kini dalam fasa persediaan apabila perkakasan pintar direka untuk memantau, mengawal dan mengoptimumkan penggunaan tenaga isi rumah melalui teknologi.
Jimat tenaga
Jelasnya, sistem itu menggabungkan ciri seperti penjejakan penggunaan tenaga, kawalan automatik dan pengurusan rangkaian.
Objektifnya adalah membantu pemilik rumah dalam pengurusan penggunaan tenaga cekap yang akhirnya membawa kepada da pengurangan perbelanjaan tenaga.
Ketua Pegawai Eksekutif intlife Smart Home Malaysia, Kok Huang Er.
"Dalam isu pemanasan global, rekod penggunaan tenaga tertinggi kediaman adalah sekitar 20.7 peratus.
"Malah, pembaziran tenaga elektrik di kediaman boleh mencecah 35 peratus apabila sesuatu perkakasan elektrik dibuka tetapi tidak digunakan.
"Perkara-perkara seperti ini memang pihak seperti kami mencari jalan untuk mengurang dan menjimatkan penggunaan tenaga. Rumah pintar bukan sekadar untuk keselesaan tetapi juga mengenai kecekapan tenaga," ujarnya.
Kata Huang Er, usaha itu seiring dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) bagi mencapai sasaran pelepasan sifar bersih negara.
Mengenai situasi seandainya capaian internet terganggu, jelas beliau, ramah pintar masih berfungsi seperti biasa, namun ia tidak dapat dikawal dari luar rumah.
Teknologi sentiasa bergerak pantas, tidak mustahil dalam tempoh beberapa tahun lagi kekurangan itu dapat diatasi," katanya.
Justeru, Huang Er menyeru rakyat Malaysia untuk beralih kepada konsep rumah pintar kerana ia menjadi satu keperluan.
"Rumah adalah antara perkara paling bernilai kerana anda perlu membayar komitmen bulanan hingga 35 tahun untuk memilikinya.
"Tidak rugi jika anda peruntukkan sedikit bajet bukan saja untuk keselesaan bahkan keselamatan.
"Keselamatan itu merangkumi banyak faktor antaranya mengelak kediaman dipecah masuk, mengesan kebocoran gas atau arus elektrik dan lain-lain," tambah beliau. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram