Tiada istilah vape lebih selamat, kesan nikotin risiko lahir anak pramatang, organ bayi rosak — Pakar


  • Relaks
  • Jumaat, 21 Feb 2025

Walaupun sering dianggap sebagai alternatif kepada rokok tradisional, vape tetap mengandungi nikotin dan bahan kimia lain yang boleh memberikan kesan buruk terhadap kesihatan ibu dan bayi. — Gambar hiasan/Freepik

PENGGUNAAN rokok elektronik atau vape dalam kalangan wanita, terutamanya ibu mengandung dan menyusukan anak, semakin meningkat dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pakar kesihatan.

Walaupun sering dianggap sebagai alternatif kepada rokok tradisional, vape biasanya mengandungi nikotin yang kdg kala tidak dilabel, dan bahan kimia lain yang boleh memberikan kesan buruk terhadap kesihatan ibu dan bayi dikandung.

Menurut Pakar Perubatan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Dekan Pusat Citra Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, nikotin yang disedut melalui vape boleh menembusi plasenta.

BACA LAGI: Pernah derita kerosakan saraf, berkurung dalam bilik, Madiha bangkit bina aplikasi sokongan wanita alami depresi

BACA LAGI: [VIDEO] Rama-rama jadi identiti, anak seni kelahiran Perak realisasi impian masa kecil buka bisnes di Bukit Bintang

"Apabila nikotin masuk ke dalam janin, ia sekali gus dapat meningkatkan risiko bayi mengalami kelahiran pramatang dan komplikasi lain seperti kekurangan aliran darah ke plasenta dan tekanan darah tinggi pada ibu hamil.

"Bayi dalam kandungan lebih terdedah kepada kesan nikotin kerana bahan ini boleh mengganggu perkembangan sistem saraf dan organ bayi," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2025-02-08 at 11.56.57 AM

Dr. Sharifa Ezat

Jelas beliau lagi, bagi wanita yang menyusukan bayi, nikotin terkandung dalam vape boleh masuk ke dalam susu ibu.

"Harus saya ingatkan walaupun kandungan nikotin itu berada dalam jumlah kecil, tetapi pendedahan kepada wap vape boleh menyebabkan bayi jika sudah lahir mengalami batuk, sesak nafas serta alahan akibat bahan kimia dalam perisa vape.

"Pada masa sama, ia boleh mendatangkan risiko kepada kesihatan ibu dan bayi yang menyusu badan," ujarnya.

Mengulas lanjut, Sharifa Ezat berkata, di peringkat global, beberapa negara seperti United Kingdom dan New Zealand telah menggunakan vape perubatan dan terapi gantian nikotin (Nicotine Replacement Therapy) kepada wanita mengandung yang ketagihan merokok teruk, bagi mengurangkan risiko kesihatan.

Namun, di Malaysia penggunaan terapi ini masih belum meluas dan wanita mengandung dinasihatkan untuk berhenti sepenuhnya daripada menggunakan sebarang produk berasaskan nikotin.

story translate (6)

Nikotin yang disedut melalui vape boleh menembusi plasenta sehingga membahayakan bayi dalam kandungan. — Gambar hiasan/AI

Kandungan dadah

Beliau juga mengakui, trend penggunaan vape dalam kalangan wanita semakin meningkat berikutan tanggapan bahawa ia adalah alternatif lebih selamat berbanding rokok.

"Namun, kebanyakan pengguna tidak menyedari bahawa cecair vape yang dibeli dari sumber tidak sah mungkin dicampur dengan bahan berbahaya, termasuk dadah sintetik.

"Masalah utama dengan vape ialah pengguna sukar mengetahui dos nikotin sebenar yang mereka ambil. Berbeza dengan rokok tradisional mempunyai jumlah nikotin yang jelas, vape tidak dilabel, boleh mengandungi dos tidak terkawal.

"Dadah dalam vape, sekali gus meningkatkan risiko ketagihan dan masalah kesihatan seperti gangguan jantung, halusinasi, serta penyakit paru-paru seperti asma dan sesak nafas pada golongan wanita,” katanya lagi.

story translate - 1

Kebanyakan pengguna tidak menyedari bahawa cecair vape yang dibeli dari sumber tidak sah mungkin dicampur dengan bahan berbahaya termasuk dadah sintetik. — Gambar hiasan/AI

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa bagi wanita (malah lelaki), yang tidak merokok, mereka seharusnya tidak memulakan tabiat vaping kerana ia tetap membawa risiko kepada kesihatan.

Tambahan pula, vape hari ini banyak dicemari bahan asing atas isu lambakan vape haram dan tidak diselia dengan baik.

"Bagi mereka yang ingin berhenti merokok, terapi gantian nikotin seperti tampalan nikotin (patch) atau gula-gula nikotin (gum) disarankan sebagai pilihan berbanding vape tidak terkawal.

"Ibu mengandung dan menyusu badan perlu mengelakkan vape sepenuhnya kerana boleh memberi kesan buruk bukan sahaja kepada diri sendiri, tetapi juga bayi mereka," tegasnya.

Sebagai langkah pencegahan, Dr. Sharifa Ezat menasihati orang ramai terutamanya golongan wanita untuk mendapatkan maklumat daripada sumber sahih dan bantuan perubatan sekiranya mengalami ketagihan nikotin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram