
MENGGALAS tanggungjawab sebagai anak sulung, banyak hal perlu dikorbankan Nur Aleeshya Jamri, 29 sebelum bergelar usahawan spa.
Memiliki dua cawangan Spa Roselily yang berlokasi di Permatang Pauh, Pulau Pinang, perjalanan anak pertama daripada lima beradik itu tidaklah mudah.
Usai menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Nur Aleeshya membuat keputusan besar dalam hidupnya dengan menolak tawaran sambung pengajian ke tingkatan enam demi menjaga keluarganya.
BACA LAGI: Dunia kecantikan bukan hanya tentang estetik, Dr Hana Rose miliki formulasi tersendiri
Nur Aleeshya mendapatkan sijil profesional dalam bidang spa dan kecantikan. — Nur Aleeshya Jamri
Keputusan berat itu diambil disebabkan kesihatan ibunya yang tidak mengizinkan beliau untuk berkelana jauh ke tempat orang.
"Arwah ibu ketika hayatnya menderita sakit kanser payu dara. Memandangkan adik-adik masih bersekolah dengan yang paling kecil baru berusia tiga tahun, saya tidak sampai hati nak tinggalkan keluarga.
"Bapa kemudian beri modal permulaan untuk buka kedai sendiri di kawasan rumah, iaitu menjual pakaian yang diperoleh dari Vietnam.
"Arwah mama merupakan seorang guru, walaupun sakit, beliau banyak membantu memasarkan jualan kepada rakan-rakan," ujarnya kepada Majoriti.
Situasi mulai berubah selepas pemergian ibunya apabila Nur Aleeshya berdepan cabaran meneruskan bisnes tanpa bimbingan.
Pemergian ibu
Keadaan itu membuatkan wanita kelahiran Penanti, Pulau Pinang tersebut berfikir semula tentang hala tuju hidupnya.
"Selepas mama meninggal dunia, saya jadi lost sebab sebelum ini ramai kawan mama datang sokong dan membeli.
"Saya pun tiada ilmu berniaga, jadi saya belajar dan buat kajian di Google," ujarnya.
Nur Aleeshya belajar selok-belok rawatan kecantikan bersama sepupunya. — Nur Aleeshya Jamri
Minat terhadap fesyen dan kecantikan kemudian mendorong Nur Aleeshya memulakan perkhidmatan spa.
Dengan bantuan sepupunya yang merupakan tenaga pengajar dalam bidang spa, wanita itu mula belajar selok-belok rawatan kecantikan.
Demi meningkatkan kredibiliti, beliau turut mendapatkan sijil profesional dalam bidang spa dan kecantikan.
Jiwa mudanya yang ingin mencuba cabang kerjaya baharu membawanya masuk ke bidang peragaan secara sambilan bersama pelbagai jenama selama kira-kira tiga tahun.
"Dari situ saya berpeluang bertemu ramai pengasas perniagaan. Pengalaman tersebut bukan sahaja memberikan pendapatan tambahan, malah membantu memahami teknik pemasaran dan strategi perniagaan mereka yang sudah berjaya," ceritanya.
Kongsi wanita dengan rupa paras ayu itu, selepas mendirikan rumah tangga dan melahirkan seorang cahaya mata, beliau kembali fokus kepada perniagaan.
Namun, pandemik Covid-19 menjadi cabaran terbesar apabila spa yang baru dibuka sebulan terpaksa ditutup buat sementara waktu.
Bagi memastikan kelangsungan hidup, beliau beralih kepada perniagaan kuih raya dan jualan lain yang boleh dilakukan dari rumah.
Kini, selepas menghadapi pelbagai rintangan, Nur Aleeshya berjaya mengembangkan perniagaannya dengan memiliki dua cawangan spa di Permatang Pauh.
Nur Aleeshya mendapat sokongan penuh daripada suami untuk melebarkan perniagaan spa. — Nur Aleeshya Jamri
Anak austistik
Spa miliknya menawarkan pelbagai perkhidmatan kecantikan dari hujung rambut ke hujung kaki, termasuk rawatan badan, urutan, kuku tangan dan kuku kaki.
Selain mengurus perniagaan, penerima Anugerah Ikon Usahawan sempena Program Ilmu Wanita Inspirasiku Kemas Negeri Pulau Pinang 2024 itu juga berperanan sebagai ibu kepada seorang anak lelaki yang didiagnosis sebagai autistik.
Mengimbangi tanggungjawab sebagai usahawan dan ibu bukanlah tugas mudah, namun beliau memastikan jadual hariannya tersusun dengan baik.
"Setiap hujung minggu saya akan peruntukkan masa berkualiti untuk bersama anak.
"Memang jadual padat, tetapi saya cuba sebaik mungkin untuk membahagikan masa. Saya akan pulang ke rumah sekitar pukul 5 petang untuk bersama keluarga," katanya yang mendapat sokongan penuh daripada suami bagi melebarkan perniagaan spa.
Usahawan wanita ini merancang membina jenama peribadinya agar lebih dikenali dalam industri kecantikan dan perniagaan. — Nur Aleeshya Jamri
Personal branding
Dalam menghadapi persaingan dalam industri spa, usahawan itu menggunakan strategi pemasaran yang kreatif, termasuk bekerjasama dengan pencipta kandungan bagi menarik pelanggan muda.
Reka bentuk spa yang mesra media sosial turut membantu menarik perhatian pelanggan yang gemar merakam gambar dan berkongsi pengalaman mereka di alam maya.
Selain itu ujarnya, beliau kini merancang untuk membina jenama peribadinya atau personal branding agar lebih dikenali dalam industri kecantikan dan perniagaan.
Baginya, wanita perlu mempunyai sumber pendapatan sendiri demi menjamin kestabilan hidup.
"Wanita memang perlu ada kewangan sendiri. Tidak semestinya kena bekerja di luar, dari rumah pun boleh jana pendapatan. Yang penting kita kena berusaha," tegas beliau. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram