Rekaan pernah dikritik hodoh, Ezuwan tetap teruskan bisnes fesyen, kini karya digayakan Siti Nurhaliza, kerabat diraja


  • Bizz
  • Ahad, 02 Mac 2025

Ezuwan lebih dikenali sebagai TJTM dalam kalangan peminat dan media.

MENJADI pereka fesyen bukanlah pekerjaan mudah, apatah lagi untuk mencipta nama sehingga dikenali.

Perkara itu sememangnya diketahui Ezuwan Ismail sebaik sahaja ketika beliau membuat keputusan untuk menceburi bisnes fesyen.

Namun, cabaran itu sama sekali tidak menghalangnya untuk mencapai kejayaan sehingga berada di tahap yang didudukinya ketika ini.

BACA LAGI: Inovasi meja ergonomik anak muda dari Pulau Pinang, tak gentar persaingan, teruskan legasi keluarga

BACA LAGI: Hobi berkhemah jadi bisnes, Kemrent Empire sasar 'one-stop centre' barangan aktiviti perkhemahan

Beliau merupakan antara pereka fesyen tanah air yang telah bekerja dengan beberapa bintang besar termasuk dua Biduanita Negara iaitu Allahyarham Datuk Sharifah Aini dan Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Pun demikian, tatkala meniti perjalanan dalam industri fesyen beliau tidak terlepas daripada menerima komen yang disifatkan sarat kebencian.

“Berikutan itu, saya mencipta nama samaran Tukang Jahit Termahir Malaysia atau TJTM pada 2018.

“Orang ramai memberi komen di platform digital bahawa saya tidak layak menggelar diri pereka fesyen kerana pakaian saya hodoh. Mereka berkata saya 'hanya tukang jahit', jadi saya memutuskan untuk menggunakan gelaran itu," kongsi Ezuwan berusia 42 tahun (ketawa).

28034138

Sebagai pereka fesyen, Ezuwan tidak terlepas daripada menerima komen negatif di media sosial.

Ezuwan mula aktif dalam industri selepas menamatkan pengajian daripada sekolah fesyen tempatan pada 2005. Beliau kemudiannya berlatih di bawah dua pereka terkenal Malaysia, Michael Ong dan Datuk Zang Toi, sebelum membuat keputusan bekerja sebagai pembantu penjual di sebuah butik.

"Saya berminat dengan pelbagai aspek fesyen, melangkaui lakaran atau jahitan.

"Saya fikir adalah penting untuk pereka sentiasa mempelajari segala aspek sebelum memulakan perniagaan," ujarnya yang memulakan jenamanya sendiri pada 2010 dan hanya beroperasi dari rumah.

Beliau turut mengimbas kembali bagaimana pelanggan selebritinya terkejut apabila mengetahui bahawa mereka sebenarnya pergi ke rumahnya untuk mencuba pakaian.

Butik pertama hanya dibuka di Ampang tiga tahun selepas itu.

Sehingga kini, beliau telah mereka pakaian selebriti seperti Ziana Zain, Rozita Che Wan, Aina Abdul, Datuk Seri Vida dan ramai lagi.

28152501

Ezuwan (kanan) merupakan antara pereka fesyen tanah air yang sering bekerjasama dengan Siti Nurhaliza.

Beliau juga juga menjadi pereka pakaian untuk kerabat diraja di Malaysia.

“Bagi saya, semua itu adalah rezeki (berkat).

"Saya cukup gembira dengan apa yang saya capai setakat ini," katanya.

Mengenai pakaian dihasilkan untuk selebriti, secara peribadi apakah pakaian yang dianggap menonjol?

Mereka pakaian untuk Siti Nurhaliza adalah antara kemuncak dalam karier saya. Saya masih ingat bagaimana ramai pereka lain berebut untuk mencipta pakaian beliau.

Apabila beliau memilih saya - setahun selepas memulakan jenama sendiri, saya rasa seperti impian menjadi kenyataan!

Pada masa sama, segar dalam ingatan bekerjasama dengan Sharifah Aini. Saya membesar mendengar lagunya. Jadi pengalaman itu adalah sesuatu sukar lupakan.

Bagaimana rasanya bekerja dengan Siti Nurhaliza lebih sedekad?

Ia sangat mudah kerana kami mempunyai persefahaman. Apa sahaja idea dicadangkan beliau menerima dengan baik.

Saya fikir adalah kerana saya tahu perwatakannya dengan baik – apa yang disukai.

Beliau juga memberikan input semasa proses mereka, jadi berlakunya komunikasi dua hala kami berkongsi idea antara satu sama lain.

Apabila bercakap tentang hubungan sedemikian, semakin lama, semakin mudah. Sebaik sahaja pelanggan mempercayai anda dan anda sudah biasa dengan mereka, kerja itu menjadi kegembiraan.

27956173

Ezuwan memeriksa pakaian yang direkanya.

Anda cenderung bermain dengan perincian untuk pertunjukan pentas dan acara karpet merah. Adakah itu sudah menjadi signatur anda?

Penampilan konsert memang memerlukan elemen lebih glamor, namun tetapi tidak semua orang memerlukan pakaian avant-garde.

Selain itu, saya turut menawarkan himpunan pakaian ready-to-wear (RTW), busana istimewa untuk pertunjukan fesyen dan pakaian pengantin perempuan.

Bagaimana pula dengan selebriti muda? Adakah anda fikir Gen Z mempunyai gaya yang khusus?

Zaman telah berubah, maka saya juga perlu berubah.

Saya mengatakan bahawa apa yang diingini anak muda adalah sangat berbeza daripada visi saya sekarang - mereka mungkin lebih suka pakaian jalanan, bukannya pakaian glamor, tetapi saya percaya boleh mencari keseimbangan antara kedua-dua estetika tersebut.

Adakah terdapat mana-mana selebriti generasi baharu yang anda ingin bekerjasama?

Saya tidak pernah memikirkan tentang itu, kerana larut dengan kerja semasa.

Saya masih mempunyai pelanggan selebriti tetap dan mereka membuat saya sangat sibuk.

Jika ada masa dan peluang, saya pasti ingin bekerjasama dengan mereka yang terkenal di Instagram atau TikTok.

28034146

Ezuwan mempunyai visi untuk mengembangkan jenamanya ke dalam industri fast fashion.

Apakah yang anda ingin cuba pada masa hadapan?

Saya ingin mencipta pakaian bagi segmen pasaran mampu milik.

Saya mempunyai label TJTM, tetapi merancang untuk mengembangkannya dan menjadikan lebih besar satu hari nanti.

Matlamat saya adalah untuk mencapai kejayaan sebagai jenama fast fashion.

Alangkah baiknya jika saya dapat melihat setiap pusat beli-belah di Malaysia menempatkan koleksi pakaian RTW jenama saya. Saya harap semua orang boleh menikmati rekaan saya satu hari nanti - bukan hanya selebriti.

Pandangan anda tentang pasaran tempatan dan bagaimana anda melihat fesyen Malaysia?

Secara amnya, rakyat Malaysia tidak memakai apa-apa rekaan luar kebiasaan. Saya melihat ramai pereka suka menggunakan gaya avant-garde untuk pakaian RTW mereka, tetapi saya rasa ia tidak berkesan.

Praktikaliti adalah penting. Sebagai contoh, saya masih mereka banyak baju kurung – namun sering mengingatkan diri sendiri bahawa rekaan lebih ringkas boleh berfungsi dengan lebih baik.

Kalau saya persembahkan terlalu banyak lipatan pada baju kurung, memang tak laku.

Kesederhanaan mempunyai tarikan klasik di Malaysia. — The Star/BERVIN CHEONG

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram