[VIDEO] Pemandu bawa lori ala 'GTA' rempuh rumah, lari sekatan JPJ berdepan pelbagai pertuduhan


  • 112
  • Jumaat, 21 Feb 2025

Tangkap layar seorang pemandu lori berjaya ditahan pihak JPJ selepas cuba melarikan diri di Melaka baru-baru ini.

SEORANG pemandu lori yang bertindak terjun dari kenderaan bagi mengelak ditahan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sehingga merempuh sebuah rumah dalam kejadian di Jalan KJ51 dekat Taman Krubong Jaya, Melaka pada petang Rabu lalu berdepan pelbagai pertuduhan jenayah.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, suspek direman sehingga 23 Februari bagi membantu siasatan dan polis membuka tiga kertas siasatan terhadap suspek.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu.

BACA LAGI: [VIDEO] Gagal lolos dikejar JPJ, pemandu bawa lori ala 'GTA' ditahan lepas rempuh rumah orang awam di Melaka

BACA LAGI: [VIDEO] Terlebih berani hulur makanan sambil usap buaya 'mangsa banjir', warga emas hampir maut dibaham

"Selain itu, suspek turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas didapati positif methamphetamine dalam ujian air kencing," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

 

 

 

Dalam usaha melengkapkan siasatan, polis turut merekodkan kenyataan daripada pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang terlibat dalam insiden tersebut.

Sementara itu, Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff, memaklumkan pegawai penguat kuasa mengejar lori suspek sejauh 25 kilometer selama hampir sejam sebelum pemandu itu bertindak terjun keluar dari kenderaan yang masih bergerak.

"Tindakan itu menyebabkan lori yang tidak dikawal terbabas secara berbahaya masuk ke sebuah rumah di Jalan KJ51, Taman Krubong Jaya, hingga merosakkan pagar, dinding luar rumah serta sebuah kenderaan pacuan empat roda yang diparkir," katanya.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 5.30 petang pada Rabu (19 Februari) di Lebuh Sungai Udang–Paya Rumput–Ayer Keroh (SPA) itu tular di media sosial, mencetuskan pelbagai reaksi daripada orang ramai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram