
JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) mengarahkan pemanggilan semula 41,688 kenderaan terdiri daripada enam model daripada syarikat pengeluar berbeza.
Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, keputusan itu dibuat susulan isu kecacatan pada struktur, peralatan atau sistem pada model terbabit yang dikhuatiri boleh mengakibatkan kemalangan.
"Model terlibat adalah Honda Civic dan CR-V sebanyak 36,378 unit, Kia Sorento XM (4,245 unit), Man TGS varian, TGS 18.360 4x2 BL SA, TGS 33.540 6x4 BB SA, TGS 28.440 6x2 BL SA dan TGS 33.480 6x4 BB SA (291 unit).
BACA LAGI : [VIDEO] Terlebih berani hulur makanan sambil usap buaya 'mangsa banjir', warga emas hampir maut dibaham
BACA LAGI : [VIDEO] Warga emas hidap skizofrenia maut, kaki tersadung dirempuh kenderaan ketika lintas jalan di Mexico
"Turut terlibat Ford Everest sebanyak 288 unit, Audi e-tron GT RS dan e-tron GT (168 unit) serta Mercedes Benz dan Mercedes AMG (18 unit)," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli
Jelas beliau lagi, model Honda Civic dan Honda CRV yang terlibat adalah dari tahun pengeluaran 2022 hingga 2024, Kia Sorento XM (2010-2015), Man TGS (2021-2023), Ford Everest (2022-2024), Audi E-Tron GT (2022-2023) dan Mercedes-Benz serta Mercedes-AMG (2017-2023).
Menurutnya, setiap pemilik kenderaan terbabit akan dihubungi oleh pihak pengeluar kenderaan masing-masing.
Katanya, pemilik terbabit juga diminta membuat perancangan awal bagi membolehkan proses pemanggilan semula dan pemeriksaan kenderaan dapat dijalankan secepat mungkin.
"Untuk makluman, mana-mana komponen yang terlibat dengan isu tersebut akan digantikan dengan kos yang ditanggung oleh pihak pengeluar kenderaan masing-masing.
"Maklumat lanjut berkenaan proses pemanggilan semula ini, pemilik kenderaan boleh hubungi atau kunjungi mana-mana pusat jualan/ perkhidmatan masing-masing yang berdekatan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram