
SEORANG warga emas hampir maut selepas dibaham seekor buaya yang sebelum ini diselamatkan dari banjir di kawasan Cimory Dairyland dekat Bogor, Indonesia baru-baru ini.
Kejadian ngeri itu sempat dirakam oleh orang awam dan tular di media sosial sejak Selasa.
Mangsa, yang merupakan seorang pelancong, dipercayai cuba memberi makan dan mengusap kepala reptilia ganas berkenaan sambil memanggilnya dengan gelaran ‘nenek’.
Namun, buaya yang kelihatan tenang itu tiba-tiba menggigit lengan kanan lelaki tersebut sebelum menariknya ke dalam air.
Rakaman video menunjukkan mangsa diseret dan dihumban seperti anak patung di dalam air, sementara orang ramai menjerit cemas menyaksikan insiden tersebut.
Salah binatang dipanggil nenek pic.twitter.com/eoJBB7WF4E
— Nadine Ardine (@MoMoT_Nadine) February 19, 2025
Mujur, beberapa individu bertindak pantas menarik mangsa keluar dari cengkaman buaya berkenaan sebelum pihak bomba tiba dan membawanya ke hospital.
Memetik laporan berita antarabangsa, mangsa yang tidak didedahkan namanya mengalami kecederaan parah di lengan kanan dan kini sedang ditempatkan di unit rawatan rapi sebuah hospital.
Menurut pegawai tempatan, buaya itu ditemui berdekatan kawasan pembuangan sampah dan dipercayai telah bertelur di daratan.
Pihak berkuasa kini memberi amaran kepada penduduk agar sentiasa berwaspada kerana kemungkinan terdapat buaya jantan berdekatan.
Serangan itu menjadi peringatan bahawa walaupun haiwan liar kelihatan jinak, ia masih memiliki naluri pemangsa yang boleh mengancam nyawa manusia. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram